Skip to main
Logo Malaysiakini

Piagam Umno, PAS bawa semangat Piagam Madinah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa memberi bayangan bahawa piagam bersama yang bakal memuktamadkan hubungan baik Umno dan PAS Sept ini diasaskan daripada apa yang terkandung dalam Piagam Madinah.

Justeru Annuar berkata masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang dengan kerjasama itu kerana Piagam Madinah yang diasaskan Nabi Muhammad SAW memang menjaga kepentingan golongan tersebut.

"Piagam Madinah ini diasaskan pada tahun pertama (hijrah), seterusnya menjadi perlembagaan bertulis pertama di dunia.

"Piagam dimeterai bersama PAS akan menjadi langkah permulaan bagi penyatuan Umat Islam di negara ini tanpa mengetepikan kepelbagaian kaum yang ada di negara ini," katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Annuar berkata demikian semasa merasmikan persidangan Umno Tanjung Piai di Pontian, semalam.

Piagam bersama Umno dan PAS akan dimeterai pada 14 Sept ini dalam acara khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Ia akan ditandatangani Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Annuar turut mengingatkan pemimpin Umno agar tidak mengambil jalan mudah dan leka dengan adanya piagam itu sebaliknya terus bekerja keras memenangi hati rakyat.

Jelas anggota parlimen Ketereh itu lagi, pemimpin Umno perlu turun ke akar umbi bagi memberikan penerangan mengenai piagam tersebut.

"Piagam Umno-PAS dibina dengan asas dan prinsip agar umat Islam di negara ini mendapat hak dan pembelaan sewajarnya, selain agar Islam tidak terus di hina,” tegasnya.