Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis cekup 116 penagih dadah di Seberang Prai Utara

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis menahan 116 lelaki yang juga penagih dadah dalam beberapa serbuan yang menjadi lokasi mereka melepaskan gian, di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Pulau Pinang semalam.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata operasi selama 24 jam bermula pukul 12 tengah malam kelmarin (Ahad), di Kampung Bakau Tua di Kepala Batas, Kampung Lembah Raja di Tasek Gelugor, dan Kampung Pekan Darat di Butterworth dekat sini.

"Kami menjalankan Ops Ice Breaker itu sebagai usaha pihak polis dalam membasmi kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di daerah SPU, kerana kami menerima banyak aduan aktiviti tersebut sejak kebelakangan ini, nampak dalam operasi seharian itu polis berjaya menahan 116 penagih dadah," katanya di Kepala Batas hari ini.

Noorzainy berkata mereka yang ditahan dalam operasi itu terdiri daripada pengedar dan penagih dadah berusia di antara 18 hingga 60 tahun, yang bekerja sebagai buruh, nelayan dan penganggur.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di ketiga-tiga lokasi itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin seberat kira-kira 60.1 gram (g), syabu (20g) dan ganja (2.3g) bernilai RM5,500 daripada 30 penagih yang ditahan.

Noorzainy berkata hasil siasatan awal mendapati semua dadah dirampas itu adalah bagi kegunaan mereka sendiri dan ada juga untuk dijual di dalam port dadah di kawasan tersebut.

"Ujian saringan awal air kencing turut mendapati kesemua mereka yang ditahan itu positif pelbagai jenis dadah," katanya.

Katanya semua mereka direman untuk siasatan lanjut dan kes di siasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya polis akan menjalankan operasi secara agresif ke atas sarang-sarang penagih dadah yang berada di daerah SPU dan Ops Ice Breaker itu juga akan diteruskan selama lapan hari, bagi pencegahan di kawasan yang telah di serbu, supaya tempat tersebut dapat dihapuskan dan ditutup sepenuhnya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan menghisap dadah untuk menghubungi talian Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di talian 012-208 7222.

- Bernama