Hari ke-47: Lepas sate dan pai, kini Eagle 27 pula
LANGSUNG l Perbicaraan jenayah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dakwaan salah guna dana SRC International Sdn Bhd masuk hari ke-47 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Saksi ke-54 akan berdepan lebih banyak soalan berkaitan urusan-urusan dengan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low.
5 petang: Perbicaraan ditangguhkan ke jam 2 petang pada Isnin depan.
4.40 petang: Jho Low diakui membuat beberapa pertanyaan daripada pegawai kanan Ambank sebelum memindahkan RM105 juta dari akaun SRC International Sdn Bhd kepada Putra Perdana Construction (PPC) Sdn Bhd pada 14 Julai 2014.
Memberikan keterangan di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Joanna Yu mengeyakan saranan peguam bela Najib dana sebanyak RM105 juta dindahkan pada 14 Julai 2014 dan sebelum itu - pada 9 Julai - Jho Low menghantar mesej kepada pegawai bank berkenaan untuk bertanya sama ada ia memerlukan kelulusan Bank Negara atau tidak.
Pertanyaan itu, kata Harvidenrjit Singh, dibuat sebelum RM105 juta dipindahkan dari SRC ke PPC.
Harvidenrjit: Anda menerima pertanyaan daripada Jho Low yang berhasrat mengambil RM105 juta daripada SRC dan menukarkannya ke dalam dolar AS dan hantarnya ke luar?
Yu: Ya.
Yu yang ketika itu menjadi pengurus perhubungan awam Ambank memberitahu, Jho Low ada bertanya jika wang tersebut dipecahkan kepada dua jumlah bersangan, adakah ia masih memerlukan kelulusan dari Bank Negara.
3.57 petang: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini diberitahu, Jho Low menggunakan ungkapan khusus, "Eagle 27" untuk merujuk kepada pemindahan dana sebanyak RM27 juta dari SRC International Sdn Bhd yang kemudian berakhir ke akaun Najib yang bernombor akhir 880.
Bekas pengurus perhubungan awam Ambank, Joanna Yu, berkata demikian semasa menjawab soalan Harvinderjit Singh berhubung transaksi pada 8 Julai 2014.
Terdahulu Harvinderjit mengemukakan soalan dengan merujuk kepada log perbualan berlangsung di antara Jho Low dan Yu pada tarikh berkenaan.
Harvinderjit: Eagle 27 untuk RM27 juta yang dipindahkan dari Permai Binaraya kepada akaun 880?
Yu: Yes.
Harvinderjit: Wang RM27 juta itu dari akaun Permai Binaraya di Maybank, kepada akaun 880, dan ia berasal dari Putra Perdana Construction yang asalnya RM35 juta yang dikeluarkan Terence Geh dari SRC pada 8 Julai 2014?
Yu: Ya.
3.30 petang: Disoal peguam bela Najib, bekas pengurus perhubungan awam Ambank, Joanna Yu, bersetuju dengan cadangan hujah dikemukakan bahawa Jho Low mengaturkan pemindahan dana RM10 juta dari Ihsan Perdana Sdn Bhd ke akaun persendirian bekas perdana menteri terbabit bagi mengelakkan masalah cek tendang.
Harvinderjit: Wang tersebut adalah untuk mengawal selia (akaun 880) untuk cek yang sudah dikeluarkan, termasuk cek (RM3.5 juta) kepada (firma undang-undang) Hafarizam (Wan & Aisha Mubarak)?
Yu: Itu, dan beberapa yang lain datang sesusahnya.
Harvinderjit: Wang tersebut bukan untuk kegunaan cek akan datang, tetapi untuk cek yang sudah dikeluarkan?
Yu: Ya.
3.05 petang: Ahli perniagaan buruan polis, Jho Low, dianggap pembuat keputusan dalam pemindahan dana RM10 juta dari anak syarikat SRC International Sdn Bhd - iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd - kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd untuk dimasukkan pula ke akaun bernombor akhir 880 milik Najib di Ambank pada Feb 2015.
Bekas pengurus perhubungan awam bank tersebut, Joanna Yu, bersetuju dengan saranan peguam bela, Harvinderjit Singh, Jho Low serta beberapa individu lain seperti Terence Geh dan Ung Su Ling menyusun proses tersebut.
Harvinderjit: Apa yang boleh kita fahamkan, Jho Low yang membuat keputusan, Ung Su Ling bekerja bersama, mereka mengaturkan RM10 juta dari Gandingan Mentari dan memasukkannya ke (akaun) Ihsan Perdana untuk dipindahkan ke akaun 880?
Yu: Ya.
Ung ialah bekas ketua pegawai eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia manakala Geh bekas pengarah eksekutif kewangan 1MDB.
1MDB pernah memiliki syarikat SRC pada suatu ketika dulu.
2.40 petang: Prosiding disambung semula
1.08pm - Mahkamah berhenti rehat. Dijadual bersambung semula pada 2.30 petang.
'Jho Low bergegas urus pindahan dana ke akaun Najib'
12.30pm - Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu setuju bahawa Jho Low tergesa-gesa untuk menguruskan kemasukan dana ke akaun bank Najib yang berakhir dengan nombor 880, selepas diberitahu berlaku overdraft.
Yu berkata demikian kepada Harvinderjit Singh semasa sesi soal balas.
Harvinderjit merujuk kepada log perbualan Yu dengan Jho Low pada 5 Februari 2015.
Log itu dikatakan menunjukkan penglibatan Jho Low dalam memastikan RM5 juta dipindahkan dari SRC International ke Gandingan Mentari, kemudian ke Ihsan Perdana dan berakhir di akaun yang berakhir dengan nombor 880.
Pembelaan akan failkan permohonan batal usaha paksa Najib minta maaf
11.30am - Pasukan pembelaan Najib Razak akan memfailkan permohonan pada Isnin depan untuk membatalkan usaha pendakwaan untuk memaksa bekas perdana menteri itu meminta maaf.
Peguam bela utama tertuduh Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu kepada mahkamah.
Minggu lalu, pihak pendakwaan memfailkan permohonan untuk memaksa Najib memohon maaf berhubung dua hantaran di Facebook miliknya yang didakwa adalah subjudis terhadap perbicaraan yang sedang dijalankan.
Yu tolak pelawaan kerja di SRC International
10.23am - Joanna Yu berkata dia dan pasukan menolak pelawaan Jho Low untuk berkhidmat di SRC International.
Yu memberitahu Harvinderjit Singh ketika peguam itu merujuk kepada log perbualan saksi ke-54 itu dengan Jho Low pada 24 November 2013.
Menurut log itu, Jho Low bertanya Yu sama ada dia kenal mana-mana ketua pegawai kewangan yang bagus untuk berkhidmat di SRC International.
Yu: Saya rasa dia nak ambil kami semua bekerja, dan kami tolak.
Harvinderjit: Itu lumayan, (gaji) RM60,000.
Yu: Kami tak mahu kerja dengan mereka.
Jho Low dirujuk sebagai 'Fatty One' - saksi
10.14am - Bekas pengarah eksekutif kewangan 1MDB Terence Geh merujuk Jho Low sebagai "Fatty One" (Si Gemuk), menurut bekas pegawai perhubungan AmBank Joanna Yu.
Yu berkata perkara itu dirujuk dalam perbualan mesej antara dia dan Geh pada 7 November 2013.
‘Jho Low mungkin kawal transaksi perbankan SRC’
10.05am - Joanna Yu berkata Jho Low mungkin mengawal transaksi perbankan SRC International.
Yu bersetuju bahawa bekas pengarah SRC International Terence Geh berada di bawah Low.
Peguam dakwa saksi 'mengelak'
9.34am - “Dia tak menjelaskan, buat-buat tak tahu, mengelak’
Demikian kata peguam Najib, Harvinderjit Singh terhadap bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu semasa sesi soal balas.
Timbalan Pendakwa Raya Sithambaram, yang sebelum itu bertanya berkaitan dokumen rampasan SPRM, bagaimanapun membantah.
“Biar dia habiskan, dia sedang cuba jelaskan,” katanya.
Sithambaram membantah cara soal balas Harvinderjit yang dikatakan kerap memotong cakap Yu.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali meminta perkara itu diteruskan dan memberi masa kepada Yu menjawabnya.
Najib masuk ke mahkamah
8.59am - Bekas perdana menteri Najib Abdul Razak mengambil tempat di bahagian depan tempat duduk dalam mahkamah.
Peguam Negara Tommy Thomas, barisan pendakwa raya dan peguam-peguam pasukan pembelaan juga dilihat telah bersedia untuk prosiding.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai