Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuan Ibrahim gesa sokong Dr M hingga habis penggal

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pula menggesa semua parti politik supaya mendukung Mahathir sebagai perdana menteri hingga pembubaran parlimen atau akhir penggal.

Katanya, ini kerana supaya semua pihak terutama sektor swasta kembali yakin dengan kestabilan politik negara.

"Saya meminta semua parti politik meletakkan prioriti yang betul dan utama untuk membantu YAB perdana menteri mentadbir negara hingga pembubaran parlimen atau akhir penggal tanpa disibukkan dengan isu lain.

"Perkara ini lebih penting supaya semua pihak terutama sektor swasta kembali yakin dengan kestabilan politik negara.

“PAS dan Umno terutamanya bersedia menjadi pembangkang yang konstruktif untuk bersama-sama membangunkan negara," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Salah satu pertemuan Presiden PAS Hadi Awang dan Mahathir di Putrajaya

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, mutakhir ini negara tidak stabil apabila masalah dalaman PKR menjadi subjek dominan politik Malaysia.

"Sekiranya isu pertarungan kedudukan kuasa dalam kalangan PH masih berterusan, maka ia akan mensabotaj agenda kemakmuran bersama yang diinisiatif oleh perdana menteri," kata beliau.

"Bagaimana negara akan terus maju dan membangun sekiranya parti pemerintah sendiri berkecamuk untuk menguruskan masalah dalamannya?" soalnya.

Tuan Ibrahim menyatakan permintaan beliau selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu kerajaan pimpinan Mahathir meneruskan usaha menyusun semula rancangan pembangunan negara, meningkatkan prestasi urus tadbir, memerangi rasuah dan mempertahankan keluhuran undang-undang.

Terdahulu, pagi tadi, Mahathir sekali lagi mengesahkan melepaskan jawatan perdana menteri sebelum tamat tempoh penggalnya.

Walau bagaimanapun, mengulas soalan wartawan, pemimpin berusia 94 tahun itu secara berseloroh berkata beliau boleh dipaksa untuk melakukan sebaliknya.

"Kecuali mereka tolak saya ke satu sudut dan acu pistol ke kepala saya supaya saya kekal sampai habis penggal, jadi saya akan teruskan," katanya kepada soalan pemberita di Putrajaya pagi ini.