Saksi: Jho Low terlibat mendalam ketika pemindahan wang dari SRC
KES NAJIB | Pemeriksaan balas dengan bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu mendedahkan pengaruh besar ahli perniagaan Jho Low dalam transaksi jutaan ringgit dari akaun SRC International Sdn Bhd.
Yu menjadi pengurus perhubungan bank tersebut untuk SRC International, selain bekas perdana menteri Najib Razak.
Ketika ditanya peguam bela Harvinderjit Singh di perbicaraan Najib hari ini, Yu setuju bahawa Jho Low terlibat dalam transaksi bersimpang-siur melibatkan RM105 juta dari akaun SRC International pada 14 Julai 2014.
Sebelum itu Low menghantar mesej kepadanya untuk memberitahu kelulusan Bank Negara diperlukan untuk pemindahan seumpama itu.
Harvinderjit: Sebelum RM105 juta dipindah dari SRC ke PPC (Putra Perdana Construction), anda menerima pertanyaan daripada Jho Low yang mahu menukar wang SRC kepada dolar AS dan kemudian mengeluarkannya?
Yu: Ya.
Apabila Harvinderjit merujuk log perbualan BlackBerry Messenger, Yu setuju yang Jho Low bertanya kepadanya sama ada langkah membahagikan wang tersebut ke bahagian lebih kecil akan dapat mengelak transaksi dilaporkan ke Bank Negara.
Yu setuju dengan kenyataan Harvinderjit bahawa Low yang membuat keputusan, seperti pemindahan RM10 juta dari Gandingan Mentari - subsidiari SRC International - kepada Ihsan Perdana, agar wang itu akhirnya dimasukkan ke akaun semasa Najib di AmBank (dengan nombor berakhir 880) pada Februari 2015.
Dia setuju dengan Harvinderjit yang itulah yang berlaku, terutama berkenaan penglibatan CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia ketika itu, Ung Su Ling dan pengarah eksekutif kewangan 1MDB ketika itu, Terence Geh dalam mengaturkan transaksi tersebut.
Pada masa itu, Yu juga mengendalikan akaun bank yang berkait dengan 1MDB yang pada satu masa ialah pemilik SRC International.
SRC International kemudian dipindahkan ke Menteri Kewangan Diperbadankan pada awal 2012.
Kata Yu lagi, dalam mesej perbualan, Low menggunakan istilah "Eagle 27" bagi merujuk kepada pemindahan RM27 juta dari SRC International ke akaun semasa 880 Najib pada 8 Julai 2014.
Harvinderjit: Wang RM27 juta itu dari akaun Permai Binaraya di Maybank, kepada akaun 880, dan ia berasal dari Putra Perdana Construction yang asalnya RM35 juta yang dikeluarkan Terence Geh dari SRC pada 8 Julai 2014?
Yu: Ya.
Perbicaraan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok pada pukul dua petang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai