Skip to main
Logo Malaysiakini

Dalam seminggu Abang Jo jumpa Anwar, Muhyiddin dan Daim

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg menerima jemputan daripada pemimpin Pakatan Harapan di Semenanjung Malaysia minggu lepas.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa presiden PKR, Anwar Ibrahim bertemu Abang Johari pada 28 Julai lalu sebelum menghadiri majlis Makan Malam Hari Pakatan Harapan Sarawak di Imperial Hotel, Kuching.

Keesokan harinya, Abang Johari berjumpa dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang berada di Kuching dalam urusan rasmi sebagai menteri dalam negeri.

Awal hari ini, Abang Johari menerima kunjungan Daim Zainuddin, yang dianggap sebagai penasihat dan orang kuat Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Perjumpaan-perjumpaan itu berlangsung ketika terdapat banyak spekulasi tentang pertemuan Dr Mahathir pada 30 Julai dengan anggota parlimen pembangkang, termasuk dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Abang Johari.

Pemimpin yang menyertai perjumpaan itu dilaporkan menyatakan sokongan mereka kepada Dr Mahathir untuk berkhidmat sehingga habis penggal.

Sokongan itu hadir meskipun Dr Mahathir menegaskan beberapa kali akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

Tidak banyak yang didedahkan berhubung pertemuan Abang Johari dengan Anwar, bagaimanapun pertemuan pengerusi GPS itu Muhyiddin dan Daim adalah atas urusan rasmi yang berlangsung di pejabat ketua menteri.

Dr Mahathir sebelum ini mendakwa perjumpaannya dengan ahli parlimen pembangkang adalah selepas mereka ingi berjumpa dengannya.

Bagaimanapun, Abang Johari pada hari ini mendakwa perjumpaan itu berlangsung selepas mendapat jemputan daripada Dr Mahathir dan wakil rakyat GPS hadir sekadar untuk "mendengar".

Abang Johari menambah bahawa kehadiran GPS di mesyuarat itu tidak semestinya sebagai sokongan cadangan Umno dan PAS yang mahukan Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.