Peralihan PM: Jangan pentingkan diri sendiri, kata Zuraida
Pemimpin PH wajar mengetepikan kepentingan peribadi dan politik sebaliknya mengutamakan negara dalam isu peralihan kuasa perdana menteri, kata Zuraida Kamaruddin.
Naib presiden PKR itu berkata semua pihak dalam PH tidak harus bersikap mementingkan diri sendiri dan pada masa sama mengambil pendekatan fleksibel menangani persefahaman mengenai isu penyerahan kepemimpinan negara daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.
Ditanya mengenai perjanjian disepakati Majlis Presiden PH sebelum PRU tahun lalu, Zuraida berkata, ia tetap boleh dibincangkan.
"Hal itu boleh dibincangkan dalam mesyuarat PH.
"Kalau semua anggota (Majlis Presiden PH) matang, mereka akan memikirkan apa yang lebih penting: kemajuan negara, atau kemajuan individu? Atau kemajuan sesuatu parti?
"Justeru kita perlu melihat kepada kepentingan negara secara keseluruhan, tak boleh pentingkan diri sendiri seperti sekarang," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu Zuraida yang juga anggota parlimen Ampang itu ditanya mengenai proses petukaran perdana menteri daripada Mahathir kepada Anwar seperti yang dinyatakan dalam manifesto PH tahun lalu.
Ketika pertembungan di antara dua kumpulan dalaman PKR semakin terbuka, sesetengah kumpulan - termasuk pembangkang - mendesak agar Mahathir dibiarkan menjadi perdana menteri sehingga penggal kali ini berakhir.
Satu pihak lagi pula cenderung mahu anggota parlimen Langkawi itu menyerahkan kuasa perdana menteri kepada Anwar lebih awal.
Zuraida juga dilihat menyasarkan Anwar apabila ditanya sama ada beliau bermaksud PH tidak seharusnya meletakkan kepentingan individu untuk menjadi perdana menteri.
"Tak boleh, betul, tak boleh.
"Kalau saya pun sebagai menteri tak (berkhidmat) dengan baik, tolong tukar saya. Itu sikap yang sepatutnya," kata Zuraida.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai