Skip to main
Logo Malaysiakini

Khat Jawi: Pemimpin DAP berkumpul Isnin depan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Berdepan bantahan meluas daripada akar umbi parti, DAP memanggil semua anggota parlimen, Adun serta anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat untuk sesi taklimat berkaitan isu khat Jawi di sekolah vernakular.

Sumber-sumber dalaman memberitahu Malaysiakini, sesi tersebut akan diadakan di Ibu Pejabat DAP di Jalan Pudu pada 5 Ogos ini. Kata mereka, sesi itu bermula jam 8 malam.

Perjumpaan tersebut, kata sumber, dipercayai diadakan agar DAP menunjukkan sikap yang tepat dan pada masa sama meredakan rasa tidak puas hati anggota parti di peringkat akar umbi.

Walaupun notis pemberitahuan itu tidak menyatakan sebarang agenda, tetapi sumber-sumber berpendapat sesi penerangan berkenaan akan membincangkan isu khat Jawi yang hangat diperkatakan di komuniti Cina di negara ini.

“Dua hari lepas (1 Ogos), anggota parlimen DAP menerima notis untuk berjumpa dengan pemimpin pusat, termasuk veteran parti, Lim Kit Siang dan setiausaha agung Lim Guan Eng.

“Tiada agenda diberikan tetapi saya percaya ia ada berkaitan dengan isu khat Jawi,” kata sumber itu.

Sumber lain berkata isu khat Jawi menjadi buah mulut orang Cina dan hangat diperkatakan.

Ada isu ada perjumpaan

Katanya anggota DAP sekarang melemparkan kritikan sesama sendiri. Justeru, katanya, ada kemungkinan pemimpin parti di peringkat pusat cuba menyejukkan keadaan.

“Memang kalau ada isu-isu semasa yang panas, pemimpin pusat akan membuat jemputan untuk berdialog," katanya.

Bagaimanapun, sumber lain mendakwa pertemuan pada Isnin nanti adalah hal biasa dan bukan dipanggil untuk isu-isu tertentu.

“Kami berjumpa sekali setiap dua atau tiga bulan. Kali terakhir diadakan pertemuan sebegini ialah semasa Ramadan lalu. Biasalah,” katanya.


Baca Menjawab persoalan tulisan khat dalam subjek BM


Akhbar Sin Chew Daily sebelum ini melaporkan subjek khat Jawi akan diperkenalkan dalam kurikulum Bahasa Melayu Darjah 4 di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Ekoran laporan itu Adun Tras, Chow Yu Hui, mengetuai sekumpulan anggota DAP mengeluarkan kenyataan bagi membantah polisi tersebut.

Mereka mendakwa pengenalan tulisan "khat" merupakan usaha untuk melembagakan dan mempolitikkan tulisan Jawi.

 

Merujuk penggunaan tulisan Jawi pada papan-papan tanda di Kelantan dan Terengganu, kumpulan itu berkata langkah-langkah serupa sedang dilakukan di Pahang dan Melaka.

Mereka berpendapat apabila kurikulum sekolah Cina dan Tamil ditambah dengan subjek khat, ia akan membawa lebih banyak masalah.

"Mereka yang mempunyai agenda mungkin mengambil peluang untuk memperkenalkan tulisan Jawi di semua peringkat.

"Jika Jawi diinstitusikan, ia akan merosakkan fabrik sosial di Malaysia," kata kumpulan itu.

Sehingga tengah malam semalam, kenyataan kumpulan tersebut ditandatangani mencecah seramai 208 cawangan DAP.

Sementara itu Kementerian Pendidikan memberitahu kerajaan akan meneruskan rancangan untuk memperkenal tulisan khat Jawi dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Darjah 4 pada tahun depan.