Skip to main
Logo Malaysiakini

3 kumpulan calon pemilihan Pemuda Amanah bukan sistem cai

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tiga kumpulan, yang bakal bertanding pada pemilihan sayap Pemuda Amanah, dilihat membawa pendekatan budaya politik baru sekaligus menolak sistem cai secara tersembunyi dalam pemilihan parti.

Ketua Pemuda Parti Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata Amanah menolak politik wang dalam memilih pemimpin dan seharusnya mereka dipilih berdasarkan potensi dan pengalaman.

"Ada dakwaan bahawa Amanah cuba mengamalkan sistem cai apabila wujudnya tiga kumpulan ini dan kita sama sekali menolak sistem cai dalam pemilihan parti.

"Bagi saya pendedahan tiga calon dari tiga kumpulan ini adalah satu pembaharuan dan pendekatan budaya politik baru di mana Pemuda berani mengetengahkan calon serta calon itu berani untuk menawarkan gagasan, idea, manifesto untuk apa mereka berikan dalam parti pada tempoh tiga tahun akan datang," katanya kepada Bernama selepas Konvensyen Pemuda Amanah Negeri Sembilan 2019 di Seremban, hari ini.

Beliau berkata, ini satu pendekatan budaya politik baharu di mana pada hari ini boleh dilihat bagaimana ketiga-tiga calon dari tiga kumpulan ini mengetengahkan tawaran, gagasan dan idea mereka kepada para perwakilan.

"Saya menasihatkan ketiga-tiga kumpulan ini di mana pemilihan ini sebagai pemilihan secara adik-beradik, walau apa yang terjadi nanti, calon yang menang dan kalah ini tetap dari pemuda Amanah. Jadi tidak perlu bergaduh dan memburukkan antara satu sama lain.

"Selepas bulan Oktober ini, kita kena tumpukan gerak kerja dan servis kepada rakyat di mana rakyat sangat dahagakan kepimpinan Pakatan Harapan yang bersih dan adil sekaligus menolak politik wang dan rasuah yang tidak boleh diterima oleh masyarakat," katanya.

Mohd Sany berkata, Pemuda pada hari ini sudah bijak dan matang dalam memilih pemimpin berdasarkan potensi dan pengalaman seseorang calon itu.

"Jika ingin memilih pemimpin bukan melihat dari segi berapa jumlah wang atau projek yang mereka boleh berikan kepada kita namun pilih pemimpin berdasarkan kemampuan dan potensi yang ada pada mereka," katanya.

Amanah dijangka mengadakan pemilihan parti tahun ini, yang dimulakan dengan Mesyuarat Agung Tahunan peringkat kawasan bermula 1 Julai lepas sehingga 31 Ogos ini.

Buat masa ini, sayap pemuda Amanah dilihat berpecah kepada tiga kem iaitu Pemuda Bangkit, Pemuda Bekerja dan Pemuda Wibawa yang mempunyai pemimpinnya sendiri.

- Bernama