Jokowi lawat M'sia 8 Ogos ini
Presiden Indonesia Joko Widodo, yang memenangi Pilihan Raya Presiden 2019, untuk memimpin penggal kedua negara demokrasi terbesar di dunia itu, dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 8 Ogos ini.
Duta Besar Indonesia di Malaysia, Rusdi Kirana berkata Presiden ketujuh Indonesia yang lebih dikenali sebagai Jokowi dan mempunyai hubungan sangat rapat dengan Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad itu, pastinya membawa agenda untuk mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara dalam lawatan rasminya itu.
"Pak Jokowi sangat menghormat Pak Mahathir, ketika (Dr Mahathir) mau dilantik (sebagai perdana menteri Malaysia pada 10 Mei 2018), Pak Jokowi harapkan beliau menjadi pemimpin (negara luar) pertama yang ucapkan selamat (tahniah).
"Ketika Pak Mahathir mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia (pada Jun 2018), Pak Jokowi menyambut Pak Mahathir di Bandara (lapangan terbang)," katanya yang menambah, Jokowi amat mengagumi kepimpinan dan pengalaman pemimpin berusia 94 tahun itu.
Beliau yang mengadakan pertemuan bersama delegasi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia di Jakarta, berkata secara peribadi, beliau yakin Jokowi akan memfokuskan kerjasama yang lebih erat bersama Malaysia, demi kepentingan dan kemakmuran bersama dalam tempoh penggal keduanya itu.
Jadual lengkap lawatan rasmi Jokowi ke Malaysia itu bagaimanapun masih belum dikeluarkan kedutaan Besar Indonesia di Malaysia setakat ini.
Rusdi berkata berdasarkan maklumat awal, Presiden Jokowi dan Dr Mahathir kemudiannya akan ke Singapura, atas undangan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, untuk membincangkan isu-isu berkepentingan bersama.
Ditanya visi Indonesia menjadi negara maju dan kuasa ekonomi kelima terbesar di dunia selepas China, Amerika Syarikat, India dan Jepun, Rusdi berkata Indonesia dan Malaysia perlu bekerjasama untuk sama- sama menjadi negara maju.
"Malaysia dan Indonesia ini kan serumpun, ‘dua tangan lebih baik dari satu tangan’," katanya.
Beliau berkata kerjasama dan cadangan seperti untuk membangunkan projek kereta bersama, menjaga kepentingan serta mempelbagai produk sawit seperti biodiesel, kerjasama baru dalam projek ekonomi, perlu diberikan penekanan dan perspektif baharu.
"Saya juga seorang pengusaha (pemilik syarikat penerbangan Lion Air Group), pastinya saya mahu Malaysia dan Indonesia melaksanakan projek-projek ekonomi bersama.
"(Contohnya) Malaysia dan Indonesia adalah pengeluar getah terbesar dunia, tapi tidak bangunkan industri pembuatan tayar kapal terbang, harus juga fokus dan bangunkan biodisel untuk pesawat," katanya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya kedua-dua negara ketepikan untuk bersaing satu sama lain, mengabaikan hal-hal "sepele" (remeh-temeh), sebaliknya memfokuskan usaha menjadi negara maju.
"Hal berkaitan jerebu misalnya, janganlah marah Indonesia, kan kami sedang ditimpa musibah, hutan kami terbakar, kami pun mengalami jerebu, jerebu juga ke Malaysia, makanya, sama-samalah membantu kami tangani kebakaran hutan," katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai