Skip to main
Logo Malaysiakini

Gubal akta khusus tangani isu jerebu

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KATA ADUN | Musim jerebu melanda Malaysia kembali lagi. Kelang di Selangor dan Rompin, Pahang, mencapai Index Pencemaran Udara melebihi 100 mata dan dikategorikan sebagau tidak sihat.

Sepuluh negara Asean mengiktiraf dan menandatangani Perjanjian Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Asean pada 2014.

Perjanjian tersebut menyeru agar semua negara memberikan kerjasama dalam mengurangkan pencemaran jerebu sama ada dalam negara masing-masing - melalui kerjasama serantau - ataupun di peringkat antarabangsa bagi mencapai pembangunan yang mampan.

Memang jelas bahawa sikap bergantung kepada kerjasama antara negara serantau saja adalah tidak mencukupi untuk menangani isu jerebu ini.

Syarikat-syarikat yang menyebabkan masalah jerebu perlu diambil tindakan undang-undang. Mereka mengaut keuntungan yang lumayan tetapi pada masa sama menyebab jutaan rakyat menderita.

Tiba masanya untuk kerajaan menggubal Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan untuk membendung kesan negatif yang disebabkan syarikat-syarikat yang mengamalkan pembakaran terbuka itu.

Akta yang digubal harus menyasarkan firma dan entiti yang terlibat - atau membiarkan - sebarang aktiviti yang menyumbangkan kepada pencemaran jerebu rentas sempadan.

Jabatan Alam Sekitar pula perlu diberi kuasa untuk memperolehi maklumat sekiranya diperlukan.

Tindakan tegas seperti denda dan penjara perlu dimasukkan sebagai hukuman bagi akta berkenaan.

Saya percaya penggubalan akta itu dapat memperkasakan kerangka gerak kerja serantau sedia ada. Ia juga dapat menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat.

Pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan jerebu - termasuk syarikat Malaysia yang beroperasi negara lain - dan didapati menyalahi undang-undang patut diambil tindakan tegas.


LEE CHEAN CHUNG ialah bendahari agung PKR merangkap Adun Semambu, Pahang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.