Skip to main
Logo Malaysiakini

MB: Johor akan buat kawasan industri baru di luar Pasir Gudang

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan negeri berkemungkinan akan mewujudkan kawasan perindustrian baru, susulan insiden pencemaran di Pasir Gudang baru-baru ini.

Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal berkata kawasan baru itu perlu, kerana Pasir Gudang ketika ini sudah padat.

“Mungkin kita akan fikir untuk membuat kawasan perindustrian baru yang berada di luar Pasir Gudang.

Nanti pihak Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) akan lihat kajian kesesuaian di mana kita buat tapak perindustrian baharu,” katanya kepada media selepas Sesi Dialog Awam Isu-Isu Semasa Pasir Gudang, di Stadium Tertutup MPPG hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai langkah dalam mewujudkan zon penampan yang dicadangkan pelbagai pihak sebelum ini.

Ditanya mengenai pelan jangka masa panjang pihaknya untuk Pasir Gudang pula, Sahruddin berkata pelan itu memang sudah ada.

“Nanti kita akan tengok hasil daripada kajian itu apa yang kita perlu buat, untuk memastikan Pasir Gudang lebih lestari. Mungkin kalau ada kilang yang perlu dipindahkan, kita pindahkan,” katanya.

Dr. Sahruddin turut menyatakan komitmennya untuk menangani isu-isu berbangkit berhubung kes pencemaran di Pasir Gudang.

“Kita tengah cuba untuk menangani segala isu-isu yang berlaku, untuk sementara kena faham bahawa Sungai Kim Kim sendiri, telah tercemar lebih 15 tahun.

“Sebab itu semasa kejadian di Sungai Kim Kim kita bertindak,” katanya semasa meluangkan masa kira-kira 15 minit bersemuka bersama penduduk sekitar Pasir Gudang yang menyertai himpunan aman di luar stadium tertutup itu.

Difahamkan, antara yang menyertai himpunan ialah mangsa pencemaran, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan seperti Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam (BBPIPA) dan anggota-anggota parti politik pembangkang di Pasir Gudang.

Sementara itu, Pengerusi BBPIPA, Muhammad Fauzi Rohani yang turut menyerahkan memorandum ketika pertemuan itu berkata, pihaknya melahirkan penghargaan kepada Dr. Sahruddin, kerana sudi bertemu dengan penduduk yang hadir.

"Inisiatif mengadakan sesi dialog awam ini amat baik, kerana dapat memberi pencerahan kepada yang hadir, berhubung isu pencemaran di Pasir Gudang.

"Harapan kami selepas ini pihak kerajaan negeri akan menganjurkan sesi dialog awam bersama penduduk dan mangsa terjejas pula," katanya.

- Bernama