'Saya nak sangat minta maaf pada Zulfarhan'
Muhammad Akmal Akif Alias berkata dia benar-benar ingin memohon maaf kepada Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang meninggal dunia dua tahun lalu dalam satu kes dera yang mendapat perhatian seluruh negara.
Selepas melalui dua tahun penuh getir sebagai 'orang kena tuduh' (OKT), Muhammad Akmal, 23, dibebaskan daripada semua tuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Julai lalu.
"Seandainya arwah masih hidup saya nak sangat minta maaf dekat dia sebab tak dapat nak selamatkan dia.
"Tapi saya sentiasa doakan dia. Kalau kita doakan dia kat sana, saya percaya dia akan batu kita dekat sini, insya-Allah," katanya dalam wawancara bersama portal mStar yang disiarkan hari ini.
Walaupun dihadapkan dengan pertuduhan dalam kes itu, Akmal juga merupakan salah seorang pelajar yang membantu menulis dua surat layang bagi memaklumkan keadaan Zulfarhan yang memerlukan rawatan.
Menurut laporan Bernama pada 28 Jun 2018, perkara itu dinyatakan oleh saksi pendakwaan Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi - yang menulis surat tersebut - di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Menurut laporan itu, Muhammad Aiman berkata surat pertama diselit di pagar Rumah Sakit Angkatan Tentera pada 23 Mei 2017, dan surat kedua di bawah pintu bilik seorang jurulatih sehari kemudian.
Dalam wawancara itu, Muhammad Akmal menceritakan kecaman yang diterima dirinya dan keluarga.
"...Walaupun saya tidak bersalah, tetapi selagi ada title OKT ia bukanlah sesuatu yang mudah. Apa yang terjadi memberi kesan kepada saya dan keluarga.
"Lebih-lebih lagi abah saya. Dia merupakan bekas anggota polis. Jadi ada sesetengah yang pandang serong terhadap keluarga saya," katanya seperti dipetik.
Bersyukur dengan keputusan mahkamah, dia berkata hanya berhubung dengan keluarga dan kawan rapat sejak dibebaskan.
Dia juga berharap orang ramai membaca perjalanan kes secara keseluruhan sebelum membuat penilaian.
"Tapi rata-rata netizen menilai sesuatu itu dari tajuk sahaja. Lagi bagus kalau mereka pergi sendiri ke mahkamah dan dengar sendiri bukannya dengar dari orang lain dan terus kecam," katanya, yang bergiat dalam kegiatan persatuan dan berniaga kecil-kecilan sepanjang dua tahun ini.
Sejumlah 18 lagi pelajar UPNM diarahkan untuk membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Enam daripadanya didakwa membunuh dan bersubahat, manakala 12 lagi atas pertuduhan menyebabkan kecederaan.
Zulfarhan antara lain dilaporkan ditekap dengan seterika panas di dormitori UPNM pada 22 Mei 2017, selepas dituduh mencuri komputer riba.
Allahyarham meninggal dunia pada 1 Jun 2017 di Hospital Serdang. Dia dilaporkan mengalami lebam dan lecur di dada, tangan dan kaki.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai