Skip to main
Logo Malaysiakini

Patriot bimbang isu kuasa bayangi agenda reformasi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kumpulan bekas tentera, Persatuan Patriot Kebangsaan hari ini menyatakan kebimbangannya terhadap isu penggantian jawatan perdana menteri kerana dilihat membayangi agenda reformasi kerajaan.

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji, berkata perebutan kuasa berterusan tidak perlu serta dilihat mengkhianati harapan dan aspirasi rakyat.

“Kami dapati dalam usaha mendapatkan jawatan dan kuasa ahli politik tertentu telah menjerumus begitu rendah ke kancah politik kotor.

“Ini sangat tidak beretika. 

"Mereka boleh dikatakan buruk macam politik kleptokrat BN,” katanya dalam kenyataan.

Arshad berkata majoriti orang yang mengundi Pakatan Harapan bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad mahu melihatnya reformasi dilaksanakan untuk mengembalikan Malaysia ke landasannya.

Beliau menasihatkan para pemimpin agar mengekalkan fokusnya pada agenda reformasi.

"Mereka sepatutnya memberi tumpuan penuh kepada portfolio dan tanggungjawab masing-masing dan memenuhi janji-janji pembaharuan seperti yang diharapkan oleh rakyat yang mengundi mereka,” katanya.

Mahathir telah berulang kali menyatakan bahawa Anwar Ibrahim akan menggantikannya sebagai perdana menteri, walaupun tidak ada jangka waktu yang ditetapkan.

Bagaimanapun terdapat sokongan terbuka oleh beberapa pemimpin dari kerajaan dan pembangkang untuk Mahathir menghabiskan penggal pentadbirannya.

Ini termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

[Baca berita asal]