Skip to main
Logo Malaysiakini

‘PBT yang luluskan kilang di Pasir Gudang, bukan saya’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin menafikan meluluskan pembukaan operasi kilang sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran di Pasir Gudang.

Bekas menteri besar Johor itu berkata kuasa meluluskan operasi kilang tertakluk bawah bidang kuasa dan pemantauan pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Urusan pelesenan, pemantauan serta syarat-syarat tambahan pula bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan agensi yang berkaitan, katanya lagi.

“Kelulusan pembukaan atau operasi sesebuah kilang di Pasir Gudang bukanlah kuasa dan tugas Adun yang terlibat. Setidak-tidaknya tidak semasa saya menjadi Adun.

“Sebaliknya, kelulusan dan operasi kilang adalah bawah bidang kuasa dan pemantauan pihak berkuasa tempatan. Dalam kes ini, Majlis Perbandaran Pasir Gudang,” kata bekas anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas.

Semalam sebuah laman Facebook Kelab Muafakat Johor menuding jari kepada Khaled susulan pencemaran yang berlaku di pasir Gudang.

Menurut hantaran berkenaan, pencemaran itu tidak akan berlaku sekiranya Khaled ketika berkuasa mendengar luahan awam dan pakar terhadap pencemaran di Pasir Gudang.

Laman tersebut turut memetik beberapa kajian alam sekitar dan laporan akhbar berkaitan pencemaran di Pasir Gudang ketika pentadbiran Khaled.

Sementara itu, Khalid menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mana-mana agensi terlibat membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.

“Saya sendiri bersedia untuk disiasat dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kerana akhirnya, saya sendiri secara peribadi ingin tahu kilang-kilang manakah yang telah membuat onar di Pasir Gudang, siapakah pemiliknya dan siapakah yang telah meluluskan pembukaan serta operasinya,” katanya.

Khaled turut menggalakkan orang ramai menggesa kerajaan Johor menyemak dan mendedahkan nama-nama kilang yang terlibat dalam pencemaran ini.

“Daripada maklumat tersebut, kita semua akan dapat mengetahui siapakah pihak yang meluluskan pembukaan dan operasi tersebut,” katanya.

Beliau turut mendakwa kerajaan negeri bersungguh-sungguh melindungi nama pesalah dan kilang-kilang yang terlibat.

“Selepas dua kali insiden yang sama berulang, kerajaan negeri Johor dan kementerian yang terlibat masih merahsiakan suspek dan nama kilang-kilang yang disyaki,” katanya.

Khaled turut kesal dengan cara kerajaan negeri mengendalikan kes tersebut.

“(Selain itu) kita harus sedar, isu yang turut kritikal dalam insiden ini adalah pengurusan dan pemantauan oleh pihak-pihak berkuasa. Prosedur dan kepakaran agensi-agensi ini harus diperkemaskan,” katanya.