Skip to main
Logo Malaysiakini

Kereta terbang lwn kongsi kenderaan elektrik

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN | Boleh berkongsi, saling berhubung, dan autonomi menjadikan kenderaan elektrik (EV) sebagai pemacu masa hadapan dunia pengangkutan dan mobiliti.

Hari ini, Malaysia mempunyai peluang untuk memimpin Asia Tenggara dalam teknologi yang sedang membangun ini, dan bukannya membazirkan sumber yang ada kepada kereta terbang, satu sistem jauh untuk menjadi pengangkutan berskala besar.

Kereta terbang hanya untuk mereka yang berduit sahaja - keinginan para jutawan seperti Musk, Bezos, Zuckerberg; atau syarikat gergasi seperti Boeing, Apple, Google.

Di sini, terdapat juga jutawan yang mampu untuk mempunyai kereta terbang, seseorang yang menghasilkan filem hollywood, mempunyai rumah mewah di Mayfair, Manhattan, dan Beverly (termasuk berlian merah jambu 22 karat yang hilang).

Kereta terbang pada dasarnya mempunyai dua masalah utama; pertama, masalah teknikal berkaitan tenaga bateri yang terhad kerana dron tidak boleh terbang lebih dari 20 ataupun 30 minit (tanpa manusia mengawalnya).

Kedua, mencari penyelesaian untuk mengendali laluan udara agar ia boleh dikawal secara automatik dari satu stesen ke satu stesen.

Cabaran utama sistem pengangkutan udara adalah sistem yang tidak cekap kerana ia mengangkut hanya beberapa orang dengan penggunaan tenaga yang tinggi.

Fungsi utamanya sama seperti helikopter, iaitu kenderaan kecemasan untuk para eksekutif, bukannya membawa orang awam.

Penyelesaian terbaik yang pernah dibangunkan setakat ini datangnya daripada prototaip kereta terbang Google, dikenali sebagai Kitty Hawk, berfungsi seperti kapal terbang, bukannya dron.

Perlu banyak tenaga

Walaupun terdapat banyak projek “kereta terbang” yang disokong oleh syarikat gergasi seperti Airbus atau Boeing, membelanjakan berbIllion ringgit, namun masih belum nampak jalan penyelesaian untuk menghasilkan kenderaan berskala besar.

Jelas, sumber tenaga yang banyak diperlukan untuk menggerakkan dron di persekitaran bandar, keupayaan untuk memindahkan orang dalam kuantiti yang ramai, dan kesukaran mempunyai sistem laluan di ruang udara untuk kapasiti yang banyak bagi kenderaan ini.

Seterusnya, menjadikan kenderaan terbang ini tidak sesuai sebagai salah satu jalan penyelesaian untuk mengurangkan kesesakan di dalam bandar dan isu pengangkutan awam berskala besar.

Sebaliknya, perkongsian kenderaan elektrik autonomi telah pun bersedia untuk digunakan dalam jangka masa pendek, dan membuatkan sembilan daripada 10 kenderaan yang sedia ada tidak relevan digunakan.

Kenderaan yang boleh berkongsi dan autonomi ini akan berkhidmat di kawasan bandar dengan sistem pengangkutan bersepadu.

Malaysia boleh memenangi perlumbaan bagi sistem kenderaan berkongsi, elektrik, saling berhubung, dan autonomi dan memimpin rantau ini jika secara serius menyertai kumpulan negara-negara tertentu dalam membangunkan dan melaksanakan teknologi bateri dan mobiliti yang canggih.

Dalam waktu yang kritikal ini, Malaysia tidak seharusnya terganggu dengan idea-idea yang mustahil secara harfiah dan kiasan angan-angan Mat Jenin.


DR RAIS HUSSIN ialah presiden dan ketua pegawai eksekutif badan pemikir berfokuskan penyelidikan dasar berteraskan data, Emir Research. Ia ditunjangi nilai-nilai konsultansi, kesederhanaan dan kerapian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.