Skip to main
Logo Malaysiakini

'Jika rehal sekalipun patut roboh kalau tak selamat'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Walaupun binaan di atas menara yang menjadi mercu tanda Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hampir 20 tahun lalu itu dianggap menyerupai bentuk rehal, keutamaan harus diberikan kepada aspek keselamatan, kata Wan Ji Wan Hussin.

Pendakwah bebas itu turut berpendapat bahawa tidak menjadi salah untuk binaan tersebut dirobohkan sekiranya disahkan tidak lagi selamat.

"Kalau sengaja dipersepsikan kepada rehal al-Quran sekalipun, seperti Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor dok "goreng" dalam FB dia - yang pasti, replika itu berada atas bangunan DBP yang pihak JKR sendiri akui bahawa ia dalam keadaan yang bahaya - sudah pasti melibatkan kepada nyawa manusia.

"Dari sudut maqasid syariah pun, sekadar perhiasan yang jika dibandingkan dengan penjagaan nyawa manusia, sudah pasti penjagaan nyawa manusia lebih didahulukan," kata Wan Ji dalam hantaran di laman sosial Facebooknya.

Wan Ji dilapor berkata demikian dipercayai merujuk kepada hantaran Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Riduan Mohamad Nor di Facebooknya, semalam ekoran kenyataan DBP untuk merobohkan replika yang dikatakan berbentuk rehal itu.

"Rehal adalah lambang menuntut ilmu bagi orang Melayu dan ada orang yang kepanasan melihat rehal...alangkah...," kata Riduan.

Bagaimanapun, terdapat pihak lain berpendapat struktur itu bukan replika rehal, sebaliknya adalah replika sebuah buku.

'Nampak macam kepala robot'

Semalam bekas pengarang kanan Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain terlebih dulu memuat naik hantaran di Facebooknya bagi mengulas keputusan DBP merobohkan replika berkenaan.

Menurut Ku Seman, rekaan struktur itu - yang dianggapnya menyerupai rehal - dilihat sebagai syiar Islam sesuai dengan agama itu sebagai agama persekutuan.

“Saya juga melihat kerja tidak cerdik merobohnya sebagai ciri-ciri Islamafobia,” kata Ku Seman.

Mengulas lanjut, Wan Ji berkata tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa binaan di atas Menara DBP merujuk kepada replika rehal al-Quran yang mahu dikaitkan dengan keislaman.

"Kalau nak kata imej keislaman, sudah pasti pada replika rehal itu disertakan juga dengan replika al-Quran, sepertimana yang kita selalu nampak di banyak replika rehal dan al-Quran itu di kelantan.

"Yang pasti, replika itu tidak kelihatan rehal dan al-Quran pun. Yang aku nampak, macam iras-iras kepala robot sahaja," katanya.