MB T'ganu cerita pengalaman diperiksa di lapangan terbang Australia
Susulan isu enam rakyat Malaysia tidak dibenarkan menaiki penerbangan ke Australia menjadi tular, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkongsi pengalaman sama yang menurutnya dihadapinya dengan pihak berkuasa negara itu.
"Baru-baru ini saya ke Australia bersama isteri dan anak-anak. Walaupun perjalanan tersebut menyeronokkan, saya juga turut mengalami pengalaman sama (walaupun kurang tegang) di lapangan terbang.
"Penerbangan kami dari Gold Coast ke Kuala Lumpur pada pukul 10.25 pagi 12 Julai, tetapi dalam pukul 9.15 pagi, saya menjadi subjek 'proses profiling' pada tahap tertentu walaupun sebagai menteri besar Terengganu, saya memegang pasport diplomatik Malaysia yang sah," katanya menerusi hantaran Facebook, semalam.
Katanya lagi, walaupun pengalaman itu tidak seberat apa yang dilalui enam warga Malaysia itu, tetapi kejadian itu tetap sesuatu yang memalukan di depan isterinya - yang juga pemegang pasport diplomatik - dan anak-anaknya.
Awal minggu ini, isu enam rakyat Malaysia yang dihalang di KLIA2 menjadi perhatian apabila salah seorangnya menceritakan pengalaman di akaun Twitter miliknya @reenzahari.
Menurut Reen, ketika dia dan lima lagi rakannya hendak menjalani pemeriksaan keselamatan terakhir untuk penerbangan pukul 12.05 pagi pada 2 Ogos lalu, seorang kakitangan AirAsia yang memeriksa tiketnya membawanya ke bilik keselamatan.
Katanya, seorang wanita tua berusia 50-an kemudian mengambil pasport mereka dan bertanya jumlah wang yang dibawa untuk perjalanan di Australia.
Reen berkata mereka masing-masing mempunyai A$350 (RM993). Dia juga membawa kad kredit dengan had maksimum sebanyak RM20,000.
Wanita itu - yang berpakaian biasa - kemudian diketahui sebagai pegawai imigresen Australia yang curiga dengan niat kumpulan itu ke Australia dan memberitahu mereka perlu ada sekurang-kurangnya A$1,000 (RM2,839) untuk dibenarkan masuk.
Mengulas lanjut, Samsuri berkata Reen dan kawannya telah menjadi 'mangsa' profiling dan "sangkaan yang palsu".
"Rancangan percutian mereka dibatalkan, mereka tinggal tergamam dan kecewa di lapangan terbang. Semuanya kerana mereka adalah mangsa anggapan yang palsu," katanya.
Kisah Reen turut menarik perhatian Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Andrew Goledzinowski, yang berkata rakyat Malaysia tidak akan berdepan masalah untuk ke negara itu jika memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Beliau juga berkata seramai 400,000 rakyat Malaysia melawat Australia setiap tahun tanpa menghadapi sebarang masalah.
Bagaimanapun, kata Goledzinowski, warga Malaysia antara yang paling ramai bekerja di Australia secara tidak sah atau tinggal melebihi masa yang dibenarkan.
Pihak berkuasa Australia bulan lalu dilaporkan menghalang kemasukan sehingga 20 warga Malaysia setiap minggu sehingga Februari tahun ini.
Ia berikutan dakwaan "penipuan" oleh warga Malaysia untuk tinggal lebih masa di sana, termasuk dengan tiba dengan visa pelawat elektronik dan memohon visa perlindungan sebaik berada di sana.
Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahaya memberitahu Dewan Negara bahawa Tribunal Pentadbiran Rayuan Australia menerima kira-kira 4,973 permohonan dari rakyat Malaysia untuk status pelarian, antara Julai 2018 dan April 2019.
Katanya, ramai pemohon itu ke Australia dengan alasan sebagai pelancong.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai