Skip to main
Logo Malaysiakini

Aidil Adha buat umat Islam Myanmar di Malaysia

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ESEI FOTO | Hari ini seluruh umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidil Adha, satu lagi perayaan tahunan dalam kalendar Islam.

Juga disebut sebagai Hari Raya Korban dan Hari Raya Haji, ia menandakan tamatnya musim haji.

Pada hari ini, umat Islam menyembelih haiwan sebagai korban - satu ritual memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail - untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Pada hari ini juga, seperti tahun-tahun sebelumnya, ratusan warga Myanmar beragama Islam yang tinggal di sini menjadikan Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang yang sentiasa sibuk sebagai tempat penyembelihan haiwan korban.

Dengan sejumlah daripada mereka lari dari pihak berkuasa di tanah air sendiri, perayaan ini pastinya memberi sedikit kegembiraan dan melupakan sejenak cabaran dalam kehidupan seharian.

Baru-baru ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata sedang mengkaji idea mewujudkan perkampungan penempatan semula untuk mengumpulkan semula pelarian yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata ia memudahkan pemantauan pelarian sedia ada khususnya Rohingya, pada masa sama membolehkan komuniti berkenaan mendapat akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran juga baru-baru ini mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkenaan janji manifestonya untuk membenarkan pelarian bekerja.

Umat Islam Myanmar menuju padang di Selayang, di mana mereka menunaikan sembahyang sunat Aidil Adha.

Imam menyampaikan khutbah usai sembahyang sunat.

Ada juga yang bersembahyang di jalan raya berlapikkan kain tarpaulin.

Selepas sembahyang, ritual korban pun bermula. 

Haiwan kemudian dijatuhkan dan sedia untuk disembelih.

Daging haiwan dilapah dan sedia untuk diagihkan.

Beberapa lelaki memotong daging di depan kedai nombor ekor.

Seorang lelaki mengangkat daging lembu yang telah dipotong.

Selain diagihkan, sebahagiannya yang terus dimasak dan dinikmati pada ketika itu juga.

Hidangan ringkas daging segar yang pastinya membuka selera.

Keluarga Muslim Myanmar menikmati hidangan daging segar di kaki lima, tidak jauh dengan tempat sembelihan.