Skip to main
Logo Malaysiakini

Zuraida gesa MB S'gor jelaskan gesaan pinda enakmen Islam

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin menggesa Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menjelaskan usahanya dalam mendesak penukaran agama sepihak kanak-kanak di negeri berkenaan.

"Amirudin perlu jelaskan kenapa dia mahukan perkara ini. Saya percaya ada sebab tertentu," kata Zuraida yang juga merupakan menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

FMT memetik Zuraida sebagai berkata bahawa pendirian PKR berhubung perkara itu adalah ia perlulah selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Amirudin sebelum ini dilapor cuba meneruskan pembentangan rang undang-undang berhubung perkara itu yang dikarakan dicadangkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di dewan undangan negeri meskipun mendapat bantahan daripada majoriti Adun.

Amirudin juga dikatakan dinasihatkan agar menjelaskan kepada Sultan Selangor bahawa perkara itu boleh menjejaskan PH.

Bagaimanapun, Amirudin menyerahkan cadangan pindaan rang undang-undang itu kepada Speaker Selangor Ng Sue Lim yang dikatakan memendekkan persidangan bagi menghalang pembentangan rang undang-undang berkenaan.

Pada 9 Ogos lalu, empat exco bukan muslim Selangor, termasuk dari PKR Hee Loy Sian, mengadap Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara itu, Zuraida menambah bahawa, tiada keperluan untuk Hee menjelaskan kepada parti hasil perjumpaannya dengan Sultan ketika mengadap.

"Saya sendiri sehingga hari ini tidak tahu perjumpaan itu tentang apa," katanya.

Sebelum ini terdapat spekulasi yang mengatakan cadangan pindaan rang undang-undang itu adalah bagi mengukuhkan kuasa politik dalam kalangan orang Melayu.

[Baca berita asal]