Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari ke-53: Mata Najib dijangkiti kuman, perbicaraan ditangguh

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Saksi terakhir pendakwaan yang juga pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain, akan menyambung keterangannya di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pagi ini.

Untuk rekod perbicaraan hari ini akan berlangsung ketika satu lagi prosiding membabitkan Najib Razak bakal bermula di mahkamah yang berasingan minggu depan.

Memasuki hari ke-53, Rosli akan memberikan keterangan dalam perbicaraan tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram Najib Razak membabitkan jumlah sebanyak RM42 juta.

Malaysiakini sekali lagi membawakan liputan secara langsung perbicaraan berprofil tinggi itu di sini.

LANGSUNG

9.47 pagi: Sejurus sebelum sidang ditangguhkan, ketua pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah, memberitahu mahkamah pihaknya mungkin memerlukan masa selama dua hari - atau lebih sedikit - untuk menyoal balas saksi, Rosli Hussain.

Kenyataan berkenaan dibuat sesudah Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram menyatakan pihak pendakwaan memerlukan masa selama dua hingga tiga jam bagi menghabiskan soalan terhadap pegawai penyiasat SPRM itu.

Rosli ialah saksi ke-57 pendakwaan.

Hakim kemudian menetapkan jam 10 pagi pada Isnin depan untuk tempoh pengurusan kes bagi membolehkan pihak pendakwaan dan pembelaan menghadiri kes membabitkan Najib di depan hakim Collin Lawrence Sequerah terlebih dulu.


9.45 pagi: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan ketua peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah, untuk menangguhkan perbicaraan hari ini ke Isnin depan.

Hal itu kerana, tertuduh, mengalami konjunktivitis pada kedua-dua belah matanya.

Menurut Shafee, Najib merujuk masalah itu kepada seorang doktor pakar mata pagi ini dan kemudian diberikan cuti sakit selama tiga hari.

Menurut peguam, satu salinan surat cuti sakit dan gambar mata Najib juga diterima pagi ini dan ditunjukkan kepada pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, kemudian mengesahkan kepada mahkamah pihaknya menerima salinan berkenaan.

Pihak pendakwaan, katanya, juga tidak membantah permohonan peguam bela berdasarkan keadaan Najib.

"Saya ditunjukkan gambar berkenaan dan mengesahkan ia agak teruk.

"Disebabkan keadaan tertuduh, pihak pendakwaan menyokong permohonan pembelaan agar perbicaraan ditangguhkan.

"Disebabkan ia adalah konjunktivitis, (kalau tidak ditangguhkan) kita semua mungkin dijangkiti," katanya.


9.42 pagi: Perbicaraan bermula tanpa kehadiran Najib.


9.15 pagi: Hanya seorang pembantu Najib dilihat duduk di barisan depan galeri awam dalam mahkamah menunggu prosiding bermula.

Biasanya ada lebih daripada seorang pembantu bersedia menunggu di situ menjelang kemunculan Najib.


9.10 pagi: Najib Razak belum kelihatan di mahkamah.

Ketua pasukan pembelaannya, Muhammad Shafee Abdullah dilihat sedang bercakap sesuatu dengan salah seorang timbalan pendakwa raya, V Sithambaram.

Difahamkan Najib bercuti sakit hari ini namun ia belum dapat disahkan.


Bekas perdana menteri itu juga akan dibicarakan atas tuduhan membabitkan dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion di depan seorang lagi Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.

Peguam Negara Tommy Thomas semalam dilaporkan berkata, pihak pendakwaan akan mengakhiri kes mereka dalam perbicaraan membabitkan SRC International Sdn Bhd menjelang Jumaat ini.

Tumpuan kini terarah kepada bagaimana kecepatan pihak pendakwaan dan pembelaan akan menyoal Rosli.

Sequerah sebelum ini menetapkan Isnin hingga Khamis depan untuk mendengar perbicaraan ke atas Najib.