Shahril: Tiada tempat untuk kenyataan seumpama itu
Kenyataan Dr Zakir Naik berkenaan orang bukan Islam negara ini terus mengundang kritikan.
Kali ini ia daripada Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan yang menyifatkan kenyataan seumpama itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh sesiapa pun.
"Tiada tempat langsung untuk kenyataan seumpama ini, daripada sesiapa pun, apatah lagi seorang bukan warganegara," katanya di Twitter hari ini.
Ciapannya itu turut diiringi pautan berita Malaysiakini hari ini berkenaan kenyataan Zakir yang disampaikan ketika syarahan di Kelantan pada Khamis lalu.
Zakir - pendakwah warga India - antara lain menyentuh tentang penganut agama Hindu dan masyarakat Cina di negara ini.
Beliau antara lain dilaporkan berkata, penganut agama Hindu di Malaysia lebih menyokong Perdana Menteri India Narendra Modi daripada Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.
Beliau hari ini menjelaskan bahawa ucapannya itu diambil di luar konteks dan menjelaskan ada beberapa kumpulan Hindu di negara ini memilih untuk menyokong Modi, berbanding Dr Mahathir, dalam isu permohonan New Delhi untuk mengekstradisinya.
Pada syarahan yang sama itu, Zakir juga berkata pihak yang mahu dirinya sebagai tetamu baru keluar, harus menghantar orang Cina selaku "tetamu lama" keluar dari negara ini, terlebih dahulu.
Aktivis sosial Marina Mahathir pula menyifatkan orang bukan Islam sebagai keluarganya.
"Siapa anda untuk kata begitu kepada kami?" soalnya di Twitter.
Bagaimanapun beberapa pengguna Twitter yang membalas ciapan itu membangkitkan peranan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menurut mereka membenarkan keberadaan Zakir.
Ada juga pengguna lain yang meminta Marina agar berbincang dengan Mahathir agar Zakir keluar dari Malaysia.
Sebelum ini, Mahathir menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India selagi pendakwah itu tidak dijamin mendapat perbicaraan yang adil di sana.
Bagaimanapun, beliau dalam satu wawancara bersama rangkaian berita antarabangsa Turki, TRT World, berkata isu Zakir ibarat "ditelan mati emak, diluah mati bapa", dengan mengakui personaliti seperti itu tidak sesuai di Malaysia tetapi pada masa sama tidak banyak negara lain yang mahu menerimanya.
Untuk rekod, Zakir diberi status penduduk tetap Malaysia pada 2012.
'Tarik status PR'
Sementara itu, peguam Syahredzan Johan berkata walau apa pun perbezaan di kalangan rakyat Malaysia, rata-ratanya tidak dapat menerima orang luar yang mengeluarkan kata-kata sedemikian terhadap "saudara senegara".
Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan segera membatalkan status PR Zakir atas sebab kenyataan itu memprejudiskan ketenteraman awam, berdasarkan Akta Imigresen 1959/1963.
"Ada pihak yang risau jika beliau dihantar pulang ke India, beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil untuk pertuduhan terhadapnya. Juga ada kekhuatiran bahawa nyawa Dr Zakir Naik mungkin dalam bahaya jika pulang ke negara asal.
"Untuk mengelakkan situasi yang tidak diingini itu, kerajaan boleh dengan secepat mungkin membatalkan status PR yang dimilikinya. Dengan cara ini, Dr Zakir Naik boleh dengan sendiri mencari negara lain yang dapat memberi perlindungan kepadanya dan meninggalkan Malaysia," katanya dalam kenyataan.
Beliau juga berkata Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kebebasan bersuara secara khusus kepada bukan warga, tetapi ini tidak bermakna mereka tidak boleh berbuat demikian.
"Tetapi daripada perspektif Perlembagaan, hak mereka tidak dilindungi," kata setiausaha politik pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang itu lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai