Skip to main
Logo Malaysiakini

Khutbah: Adillah pada semua tak kira warna kulit, latar belakang

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengingatkan umat Islam bahawa berlaku adil dalam kalangan masyarakat adalah suatu perintah dalam Islam yang perlu kita tunaikan.

Menurut mimbar, umat Islam dituntut agar menjaga hak-hak asasi manusia dan mengelakkan daripada melakukan kezaliman kepada pihak lain serta semua bertanggungjawab memelihara keamanan dan menegakkan keadilan dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

"Islam mewajibkan umatnya bersikap adil dalam semua keadaan tidak mengira warna kulit, warganegara, status atau kepercayaan.

“Ajaran Islam menunjukkan bahawa keadilan dalam Islam bukanlah suatu teori tetapi ia adalah suatu perintah Allah SWT," kata teks khutbah bertajuk “Islam menegakkan keadilan sosial” yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Jelas mimbar, menerusi surah al-Maidah, ayat 8, umat Islam disaran menegakkan keadilan kerana Allah dengan menerangkan kebenaran dan tidak sekali-kali menanam kebencian terhadap sesuatu kaum hingga mendorong kepada tidak melakukan keadilan.

Mimbar turut mengingatkan umat Islam menerusi ayat tersebut, dapat dilihat dengan jelas bahawa Islam sangat memberikan penekanan terhadap konsep keadilan dan penerangan tentang sifat adil serta perkara-perkara yang berhubung dengannya dalam kehidupan bermasyarakat.

"Setiap orang mempunyai hak-hak yang saling berkaitan sama ada dia menunaikannya kepada orang lain atau perlu ditunaikan kepadanya. Ia merupakan suatu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja.

"Malah, orang yang tidak berlaku adil dan tidak menunaikan hak-hak orang lain sebenarnya telah melakukan kesalahan dan layak untuk diberikan hukuman yang setimpal.

“Setiap negara menggubal undang-undang bertujuan untuk menegakkan keadilan dalam kalangan warganegaranya," kata mimbar.