Skip to main
Logo Malaysiakini

Utusan hadapi masalah pengurusan, tak harus dipolitikkan - Annuar

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Masalah yang dihadapi syarikat Utusan Melayu adalah berkaitan pengurusan dan perniagaan, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

"Masalah Utusan adalah masalah pengurusan serta perniagaan dan tidak harus dipolitikkan sama sekali," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Utusan Melayu dilapor menghadapi masalah kewangan apabila kakitangan Utusan Malaysia dan Kosmo! belum dibayar gaji sejak tiga bulan lalu.

Pengurusan akhbar berkenaan bagaimanapun berkata mereka akan membayar pendahuluan gaji yang tertunggak sebanyak RM2,000 malam ini, berdasarkan kemampuan syarikat.

Annuar dalam kenyataannya berkata Umno telah menjual saham Utusan pada Februari lalu dan tidak mempunyai kuasa dalam pengurusan baru syarikat itu.

Februari lalu, Umno menjual 31.61 peratus kepentingannya dalam Utusan kepada bekas anggota parlimen Kulim Bandar Baharu, Abd Aziz Sheikh Fadzir bernilai RM6.65 juta, atau mewakili 65.2 peratus.

Annuar berkata, walaupun Umno bersimpati dengan kakitangan akhbar itu, parti itu sendiri tidak mampu menawarkan bantuan kewangan memandangkan akaun parti itu telah dibekukan.

Akaun Umno dibekukan selepas ia didakwa memperolehi dana daripada 1MDB ketika pentadbiran perdana menteri Najib Razak. 

Kerajaan pada masa ini sedang berusaha mendapatkan kembali dana berjumlah RM116 juta daripada parti itu.

Bagaimanapun, Annuar berkata Umno telah membantu atas dasar simpati dan kemanusiaan kepada kakitangan Utusan yang terlibat.

Terdahulu pada sidang media, beliau menegaskan Umno tidak akan berlepas tangan daripada masalah kewangan yang dihadapi Utusan.