Skip to main
Logo Malaysiakini

Tun, ceraikan DAP, kata Annuar Musa

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa mengusulkan agar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad "menceraikan" DAP.

Katanya, sekiranya DAP membawa lebih banyak kemudaratan apabila semakin lama berada dalam kerajaan, ia dibimbangi akan merosakkan sistem nilai dan ideologi dalam jangka masa panjang.

"Cuba lihat kepada Perlembagaan DAP mereka, ideologi perjuangan mereka adalah sosialisme dan sekularisme," katanya yang turut membangkitkan konsep Malaysian Malaysia dikaitkan dengan parti itu.

"Adakah Bersatu bersedia dan menerima sosialisme atau sekularisme?

“Kalau tak boleh bagaimana nak kawal sehingga rosakkan ideologi nasional yang ditanam sekian lama. Ia perlu dikawal sebelum terlambat,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Beliau dilaporkan berkata demikian dalam siri Wacana Sinar Harian Ke-120 Melayu Islam Pasca-PRU15 semalam.

Selain itu, beliau turut menempelak Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas pendiriannya dalam kes Dr Zakir Naik.

"Untuk Dr Mahathir ke depan dan belakang beliau perlukan bantuan. Jangan pula harapkan orang macam Syed Saddiq Syed Abdul Rahman," katanya lagi.

Tempelaknya itu merujuk kenyataan Syed Saddiq yang menyokong agar pendakwah kontroversi itu diusir dari Malaysia.

Ia susulan kenyataan Zakir Naik terhadap kaum India dan Cina di Malaysia semasa syarahannya di Kelantan, yang mencetuskan kontroversi hangat.