Farhash lihat harapan 'Malaysia untuk semua' pada Anwar
WAWANCARA | Seperti kebanyakan ahli politik dalam PKR, pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998 turut menjadi peristiwa penting buat Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Farhash mengenang kembali ketika berusia 16 tahun bagaimana beliau dan datuknya, seorang ahli PAS, ke Kuala Lumpur dari Perak untuk ke rumah Anwar.
"Di sana saya lihat dia beri ucapan, dan ketika itulah benih mula tertanam," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini.
Sembilan tahun kemudian, iaitu pada 2007, Farhash menjadi sebahagian daripada pasukan presiden PKR itu.
Tetapi bukan karisma Anwar saja yang menjadi pencetus kepada Farhash, tetapi ada sesuatu yang lebih peribadi sifatnya.
"Kemelayuan saya memang tebal, tetapi bapa saya bukan Melayu. Saya melihat bagaimana sistem, dasar ekonomi tidak begitu adil terhadapnya.
"Dia seorang yang rajin bekerja, dia ada kilang tetapi sistem telah menghancurkannya. Dia perlu ambil ahli politik Umno ke dalam syarikat dan mereka kemudian menganiayanya.
"Jadi saya percaya kepada pendekatan dasar berasaskan keperluan yang dibawa Anwar... Ia beri harapan kepada saya terhadap Malaysia untuk rakyat Malaysia," katanya lagi.
Menurut Farhash, Anwar telah memperjuangkan perkara itu sejak bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada era 1970-an, yang menurutnya sangat mendahului zaman pada ketika itu.
Pada 26 Julai lalu, Anwar berkata beliau akan mempercepat peralihan daripada dasar ekonomi afirmatif berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan apabila menjadi perdana menteri.
Beliau berkata peralihan itu juga merupakan pendirian Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin juga sebelum ini berkata dasar ekonomi perlu beralih kepada dasar keperluan.
Terdahulu Mahathir berkata kerajaan akan memperkenalkan dasar berdasarkan prinsip 'kemakmuran bersama' yang diperkenalkannya ketika ulang tahun kerajaan PH.
'Bos saya tak tergesa-gesa'
Farhash yang merupakan setiausaha politik Anwar percaya peralihan itu akan tercapai apabila Anwar menjadi perdana menteri.
"Kita mahu tamatkan semua politik pemisahan (segregation), kita mahu Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.
"Individu yang konsisten dengan perkara ini ialah Anwar, dan saya percaya ia hanya akan terlaksana apabila dia menjadi perdana menteri," katanya lagi.
Secara peribadi dia mahu Anwar segera mengambil alih jawatan itu, tetapi Farhash berkata presiden PKR itu tidak tergesa-gesa untuk menggantikan Mahathir.
"Bos saya seorang yang tenang, tanpa menghiraukan apa tanggapan orang di luar sana yang dia tergesa-gesa (untuk jadi PM).
"Dia menikmati masa dengan keluarga, kawan, membina semula parti, reformasi parlimen... Dia tak tergesa-gesa langsung," katanya lagi.
Katanya, peralihan kuasa akan berlaku selepas dua tahun Mahathir memegang jawatan itu, atau apabila rakyat merasakan sudah tiba masanya Anwar mengambil alih.
Sementara itu, dia menggesa kerajaan agar meningkatkan komunikasi dengan orang ramai serta parti pemerintah terutama berkenaan isu sensitif dan boleh mencetuskan perpecahan.
Ia agar kesilapan dapat dielakkan, katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan bantahan yang dihadapi kerajaan berkenaan isu seperti pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular, serta keputusan menandatangani pernjanjian seperti Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang akhirnya ditarik semula.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai