Skip to main
Logo Malaysiakini

Ikatan, Berjasa kini sertai kerjasama Umno-PAS

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Berjasa hari ini bersetuju untuk menyertai kerjasama politik yang digerakkan sebelum ini oleh PAS dan Umno.

Perkara itu diumumkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Katanya Abdul Hadi, Ikatan dan Berjasa akan menyertai kerjasama politik Melayu itu melalui Gagasan Sejahtera.

Kata anggota parlimen Maran itu Berjasa dan Ikatan juga menerima kerjasama dilakukan PAS dengan Umno yang dibuat atas kerangka taawun siyasi.

Ditanya sama ada keputusan itu bermakna Ikatan dan Berjasa sedia menyertai kerjasama PAS dan Umno, Abdul Hadi berkata: "Ya, seperti mana PAS mewakili Gagasan Sejahtera, sebagaimana Umno mewakili BN."

Abdul Hadi berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Gagasan Sejahtera di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Presiden Ikatan Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Naib Presiden Berjasa, Mohd Hazizi Ab Rahman.

Sebelum ini, Abdul Kadir berkata Ikatan masih belum berminat untuk menyertai kerjasama membabitkan Umno dan PAS, namun parti itu kekal dalam Gagasan Sejahtera.

“Setakat ini kita belum fikir lagi sama ada hendak bersama dengan PAS dan Umno dalam perpaduan ummah. Kita tengok dulu macam mana.

“Lagi pun masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang keputusan atau pendirian kerana kerjasama PAS dan Umno masih baru dan belum ada apa-apa hala tuju yang tetap,” katanya pada awal Ogos lalu.


Baca Hadi: Suara kebimbangan ahli PAS terpencil, terlalu sedikit


Sementara itu, Abdul Kadir memberi penjelasan berhubung keputusan parti itu menyertai kerjasama politik PAS dan Umno.

Kata bekas menteri kanan Umno itu, keputusan berkenaan dibuat memandangkan PAS dapat menerima perjuanga Ikatan untuk masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kami ahli bersama dengan PAS, nama parti Ikatan Bangsa Malaysia, makna kata, berbilang kaum.

"Jadi bermakna apabila kami sudah sepakat dengan PAS makna parti itu (PAS) dapat menerima konsep bangsa Malaysia bahawa di negara ini, parti politik akan melindungi kepentingan semua kaum dan agama," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi ketika ditanya sama ada Ikatan kurang senang dengan kerjasama Umno, PAS, beliau berkata dakwaan itu tidak betul.

"Itu tidak betul, kita berunding atas nama Gagasan Sejahtera merangkumi Ikatan dan Berjasa," katanya.