Skip to main
Logo Malaysiakini

Mukhriz: Akui kadar kemiskinan, tak perlu mengelat

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tidak perlu "mengelat" untuk mengakui bahawa masih ramai lagi golongan miskin yang perlu dibantu kerajaan, kata Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

Oleh itu beliau berkata garis kemiskanan perlu digerakkan daripada RM980 kepada RM1,200 sebulan supaya lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu.

Pada masa sama Mukhriz menjelaskan langkah tersebut bukanlah bertujuan untuk menambah bilangan orang miskin dalam negara sebaliknya memberi manfaat buat mereka.

"Bagi sayalah bukan kita nak lebih ramai orang miskin, tetapi apabila kita buat pengiktirafan seperti itu, maka segala daya upaya kerajaan untuk membantu orang miskin dapat dibuat lebih agresif.

"Kita boleh lulus lebih banyak bajet bagi membantuan.

"Itu lebih baik daripada kita mengelat dan kita tak mahu mengakui bahawa ada lagi masalah kemiskinan dalam negara kita, termasuklah di Kedah," katanya ketika ditemui selepas sidang media operasi penerbangan Qatar Airways ke Langkawi di Kuala Lumpur, petang ini.

Hadir sama Ketua Eksekutif Kumpulan Qatar Airways, Akbar al-Baker dan duta Qatar ke Malaysia, Fahad Mohammed Kafoud.

Pada 23 Ogos lalu, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Prof Philip Alston, meminta kerajaan mengkaji dan menilai semula kadar kemiskinan di negara ini.

Mahu lebih banyak penerbangan

Hal itu kerana, katanya, laporan rasmi menunjukkan kadar kemiskinan hanya pada kadar 0.4 peratus dan dianggap tidak tepat.

Menurut Alston, berkata kadar kemiskinan sebenar di Malaysia jauh lebih tinggi, iaitu pada kadar kira-kira 15 peratus.

Alston yang juga pakar hak asasi manusia PBB berkata, ia adalah hasil penemuannya selepas mengadakan lawatan selama 11 hari - bermula 13 Ogos lalu - di negara ini.

“Kadar 0.4 peratus tidak menunjukkan realiti di peringkat akar umbi. Kita boleh mempersoalkan sama ada kadar sebenar adalah 12 atau 18 peratus, tetapi kadar itu sangat tinggi.

“Walaupun tidak dapat dinafikan Malaysia mencapai pertumbuhan yang mengagumkan dalam mengurangkan kemiskinan dalam tempoh 50 tahun yang lalu, namun dakwaan rasmi bahawa kemiskinan sudah dibasmi atau hanya wujud dalam kelompok kecil di kawasan luar bandar adalah tidak tepat,” kata Alston.

Mukhriz dan Akbar al-Baker di majlis diadakan di Kuala Lumpur hari ini

Ditanya sama ada setuju dengan laporan dikemukakan pelapor PBB itu, Mukhriz berkata, beliau terbuka kepada cadangan berkenaan.

Namun, kata Mukhriz, sekiranya kerajaan ingin membantu lebih ramai golongan miskin maka garis kemiskinan memang perlu dinaikkan sedikit.

"Saya terbuka kepada cadangan itu, tapi nak kata setuju atau tak setuju kena perincikan dulu.

"Apa yang saya faham, kerajaan persekutuan akan kaji secara mendalam apa yang dimaksudkan oleh wakil tersebut, tetapi bagi saya apa juga dasar dan tindakan kerajaan persekutuan membantu masyarakat miskin amat dialu-alukan," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai penerbangan Qatar Airways lima kali seminggu ke Pulau Langkawi, Mukhriz berkata lebih banyak lagi penerbangan bertaraf lima bintang perlu beroperasi di pulau lagenda itu.

Katanya, ia bukan mahu menafikan sumbangan syarikat penerbangan tambang murah yang telah sedia beroperasi.

Namun, bagi memenuhi keperluan hotel yang bertaraf lima bintang di Pulau Langkawi, keperluan syarikat penerbangan bertaraf lima bintang amat diperlukan bagi membawa masuk penumpang untuk sektor perhotelan itu.