Skip to main
Logo Malaysiakini

Shafee timbulkan lagi isu punggung Najib

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KES 1MDB NAJIB l Peguam utama bekas perdana menteri Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah hari ini memohon agar tempoh perbicaraan kes rasuah 1MDB yang membabitkan anak guamnya dipendekkan.

Shafee memberikan beberapa alasan, antara lain, adalah Najib terpaksa duduk di permukaan yang keras untuk jangka masa panjang.

"Tetapi lebih kritikal ialah klien saya (duduk) di atas papan ...

"Hampir setiap hari, sebaik sahaja Yang Arif membenarkan penangguhan (tadi), dia terpaksa meregangkan badannya (stretching) jika tidak akan menjadi lebih teruk," katanya kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Beliau juga memetik isu-isu dokumentasi dalam permohonnya untuk memendekkan masa perbicaraan.

Susualan itu, Sequerah bersetuju untuk menamatkan sesi hari ini pada jam 4.45 petang.

Shafee kemudian meminta agar perbicaraan seterusnya berakhir pada jam 4.30 petang, sambil menambah bahawa beliau telah menimbulkan isu yang sama dengan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan SRC International.

Bagaimanapun, Sequerah tidak bersetuju dan memberitahu Shafee bahawa anak guamnya akan dibenarkan untuk mengambil rehat seketika.

 

"Saya boleh membenarkan rehat seketika jika diperlukan," katanya.

Najib sedang berdepan dengan lebih 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan sejumlah RM2.28 juta yang berasal dari 1MDB.

Pada Selasa lalu, Shafee meminta Peguam Negara Tommy Thomas dan mahkamah agar kerusi kayu tempat bekas perdana menteri itu duduk berjam-jam hampir setiap hari dipasangkan kusyen.

"Anda yang lain berada di galeri awam. Anda mempunyai lapisan kusyen... Itu pun saya dimaklumkan oleh (wartawan kanan) dia rasa sakit (duduk di kerusi itu) kerana ia masih agak keras.

"Bayangkan, (tertuduh) perlu duduk di situ berjam-jam... Saya jemput anda duduk di situ hanya untuk sejam. Anda mungkin lebih muda, punggung lebih berisi daripada Najib. Kita tengok kalau anda boleh tahan,” katanya.

[Baca berita penuh]