Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari Kebangsaan 2019 banyak istimewa

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tahun ini, Putrajaya sekali lagi dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan.

Merupakan kali keempat ia menjadi tuan rumah, namun kelainan yang dijanjikan tetap ada.

Istimewanya pada sambutan Hari Kebangsaan 2019 esok, Putrajaya akan menerima keberangkatan Yang di-Pertuan Agong baru, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke acara perbarisan dan perarakan.

Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Juga istimewa, sambutan pada tahun ini ialah menyaksikan orang nombor satu dalam perkhidmatan kerajaan, iaitu Ketua Setiausaha Negara (KSN) Dr Ismail Bakar, mengetuai sendiri perarakan Kontinjen Berkuda Perkhidmatan Awam.

Perarakan itu akan melibatkan 44 kuda dari unit berkuda Perbadanan Putrajaya (PPj), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

"KSN mengetuai pasukan ini sebagai tunggak (perkhidmatan awam)," kata Presiden PPj Dr Aminuddin Hassim.

Penyertaan kontinjen itu juga menjadikan kuda sebagai satu-satunya haiwan yang terlibat dalam acara perarakan itu.

Bersesuaian dengan tema sambutan tahun ini, Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih, lebih 1,000 pelajar sekolah bergabung membuat persembahan khas menampilkan analogi sifat anai-anai sebagai simbolik kejelikan jenayah rasuah serta rakyat Malaysia yang tidak rela membiarkan negara hancur akibat jenayah itu.

Dengan jangkaan 500,000 pengunjung hadir esok, PPj selaku pihak bertanggungjawab untuk menyelaras persiapan logistik buat pertama kalinya menyediakan kemudahan tempat duduk bertingkat yang mampu memuatkan sehingga 4,000 orang.

Lebih 15,000 peserta dan lebih 300 aset terlibat dalam acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019.

Putrajaya pernah menjadi lokasi bagi penganjuran Hari Kebangsaan pada 2003, 2005 dan 2018.

- Bernama