Skip to main
Logo Malaysiakini

RM428,500 milik Akademi Pemuda dilucut hak

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan wang berjumlah RM428,500 yang disita daripada Akademi Pemuda kerana dikatakan ada kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman memaklumkan reponden (Akademi Pemuda) tidak membantah terhadap permohonan untuk melucutkan hak harta itu.

Dalam prosiding semalam, Akademi Pemuda tidak diwakili peguam dan wakilnya juga tiada di mahkamah.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwa raya mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan selepas SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan dari akaun bank Najib Razak.

- Bernama