Skip to main
Logo Malaysiakini

Cucu Tunku saran k'jaan tumpu sekolah satu aliran

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Cucu kepada bapa kemerdekaan negara, Tunku Muinuddin Putra berkata sudah tiba masa kerajaan memberikan tumpuan kepada sistem persekolahan satu aliran bagi memelihara perpaduan kaum yang disifatkannya semakin terhakis.

"Saya betul-betul sokong sekolah satu aliran, semua sekolah menjadi satu, bahasa-bahasa lain seperti Cina dan Tamil boleh diajar.

"Walau pelajar Melayu, boleh belajar bahasa Cina, murid Cina nak tahu pasal Islam boleh, tak semestinya dia mengambil tahu pasal Islam akan memeluk Islam," katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini.

Tunku Muinuddin turut bersetuju sekiranya pertubuhan pendesak pendidikan Cina seperti Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) diharamkan.

"Kita patut mula daripada sekolah untuk memupuk perpaduan, saya juga sokong kalau kerajaan haramkan Dong Zong, cara Dong Zong tentang tulisan Jawi mengguris orang Melayu," katanya.

Dong Zong dilihat sebagai antara yang lantang menentang pengenalan tiga muka surat tulisan Jawi dalam Buku Teks Darjah Empat di sekolah vernakular.

Selepas pelbagai perdebatan, pada 3 Ogos lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan pengenalan tulisan Jawi akan dibuat secara pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Mengulas lanjut, Tunku Muinuddin berkata rasa tidak puas hari antara kaum perlu dielakkan agar peristiwa hitam pergaduhan kaum yang tercetus pada 13 Mei 1969 tidak berulang.

Sebab tak masuk Umno

Tunku Muinuddin yang aktif dalam politik sebagai Naib Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) berkata, badan bukan kerajaan (NGO) boleh memperjuangkan kaum-kuam tertentu, tetapi perlu berhati-hati agar tidak melampaui batas.

Ditanya sebabnya memilih Ikatan untuk berpolitik dan bukannya Umno yang pernah menjadi wadah perjuangan datuknya Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Tunku Muinuddin berkata Umno yang ada pada hari ini bukanlah Umno yang diperjuangkan bekas perdana menteri pertama itu.

"Sebab itu saya tidak masuk Umno. Masa saya masuk Ikatan pun Umno dah teruk, dengan isu rasuah, penyelewangan wang, sebab itu rakyat tolak BN," jelasnya.