Skip to main
Logo Malaysiakini

Shafee dapat semula pasport buat sementara waktu

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Peguam Muhammad Shafee Abdullah hari ini berjaya memperoleh semula pasport antarabangsanya buat sementara waktu dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mewakili anak guamnya di Australia.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan lisan Shafee semasa pengurusan kes di hadapan hakim itu pagi ini.

Pasport Shafee sebelum ini disimpan oleh mahkamah sebagai salah satu syarat ikat jamin apabila dia didakwa dengan tiga kesalahan jenayah, termasuk dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Shafee memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya memerlukan pasport dikeluarkan untuk perjalanan antara Khamis dan Isnin depan.

Shafee juga memberi jaminan kepada hakim bahawa perjalananya ke Australia tidak akan menjejaskan perbicaraan terhadap Najib, kerana beliau hanya dijadual berlepas pada pukul 9 malam Khamis ini dan akan kembali ke Malaysia pada hari Isnin, yang merupakan cuti umum.

Shafee berkata, beliau terpaksa membuat permohonan lisan untuk memperoleh semula pasportnya terlebih dahulu dengan mengatakan baru sahaja menerima cakera padat dari Australia yang mengandungi 1,000 muka surat nota keterangan untuk kes anak guamnya petang semalam.

Bagaimanapun permohonannya dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, yang antara lain menyebut mengenai risiko penerbangan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, hakim kemudian membenarkan permohonan Shafee.