Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib, Umno, Rosmah, firma Lubnan mohon celah kes RM680j 1MDB

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas Perdana Menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor dan dua anak mereka bersama Umno serta firma barangan kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL akan mencelah dalam saman pelucuthakan RM680 juta 1MDB terhadap Obyu Holdings Bhd.

Ini disahkan oleh peguam yang mewakili empat pihak berkenaan dalam pengurusan kes di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi.

Muhammad Shafee Abdullah, David Gurupatham, Nor Fazreen Hazrina Rahim dan Azrul Zulkifli Stork, yang bertindak bagi pihak Najib, Umno, Rosmah dan dua anaknya serta Global Royalty Trading SAL.

Obyu Holdings dimiliki oleh Bustari Yusof, sekutu rapat Najib.

Kerajaan memfailkan saman pelucuthakan terhadap Obyu Holdings - milik Bustari Yusof - berhubung 11,991 barangan kemas yang dirampas oleh polis daripada kediaman yang diduduki oleh keluarga Najib di Pavilion Residences di Kuala Lumpur tahun lalu.

 

Najib dan Umno akan memohon untuk menuntut wang tunai yang disita oleh SPRM.

Rosmah bersama dua anaknya, Nooryana Najwa dan Nor Ashman Razak, serta Global Royalty Trading pula memohon untuk menuntut barangan kemas dan aksesori lain.

"Kami mewakili Najib, yang akan datang sebagai pihak ketiga membuat tuntutan beberapa mata wang, kebanyakannya mata wang luar negara, yang adalah wang peribadi beliau, selain barang milik peribadi seperti jam tangan dan pelbagai aksesori lain," kata Shafee memberitahu Sequerah.

Pengurusan kes hari ini susulan keputusan mahkamah yang sama pada 23 Ogos lalu yang membenarkan permohonan SPRM untuk mengazetkan notis pihak ketiga untuk memohon atau menuntut wang dan aset yang dirampas.

Shafee berkata bahawa mereka telah menulis kepada pihak berkuasa beberapa bulan lalu untuk mendapatkan butiran lengkap tentang wang dan aset, tetapi hanya mengetahui baru-baru ini bahawa notis pihak ketiga dibenarkan.

Semasa prosiding, peguam yang mewakili Umno, Nor Fazreen memberitahu mahkamah bahawa parti tersebut cuba menuntut wang RM1 juta yang merupakan sebahagian daripada saman pelucuthakan tersebut.

 

"Kami mewakili Umno dalam tuntutan tunai RM1 juta itu," kata Nor Fazreen.

Gurupatham mengesahkan anak guamnya, Global Royalty Trading SAL, membuat tuntutan terhadap barangan kemas yang dirampas oleh pihak berkuasa yang kini menjadi sebahagian daripada subjek saman itu.

Gurupatham juga berkata bahawa tuntutan barang kemas oleh anak guamnya turut berkait dengan satu lagi kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam kes itu, firma Lubnan tersebut menyaman Rosmah untuk memulangkan 44 barangan kemas yang berada dalam miliknya sebelum dirampas tahun lalu.

Sequerah kemudian menetapkan 31 Oktober bagi mendengar permohonan tuntutan pihak ketiga dan memberitahu semua pihak supay membuat permohonan sebelum tarikh tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Aaron Chelliah mewakili SPRM.