Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis minta Farhash tampil bantu siasatan kes rusuhan bersenjata

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis Selangor meminta setiausaha politik Presiden PKR Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, untuk tampil membantu siasatan.

Ia berhubung kejadian rusuhan bersenjata yang berlaku sekitar 9 malam pada 31 Ogos di kompleks sukan Arena All Stars di Ampang.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat, kira-kira 12 hingga 14 lelaki terlibat dalam insiden itu,

"Kejadian bermula apabila suspek seorang lelaki Melayu telah terserempak dengan pengadu dan terus menolak muka pengadu.

"Seterusnya berlaku kekecohan dan pihak pengurusan kompleks meminta pengadu dan suspek beredar dari kawasan itu.

"Pengadu telah pergi ke tempat letak motosikal di luar komplek sukan tersebut dan seterusnya sekumpulan 10 orang lelaki telah datang menyerang," katanya.

Fadzil berkata pengadu telah diserang dengan topi keledar, pisau dan kerusi, meskipun tiga daripada sahabat pengadu cuba menghentikan kejadian itu.

Kejadian itu dikatakan menyebabkan pengadu mengalami kecederaan koyak di bahagian tisu pinggang, luka di bahagian anggota badan dan sakit di bahagian kemaluan.

"Ekoran dari kejadian ini pihak polis meminta salah seorang suspek yang dikenali sebagai Farhash Wafa Salvador, 37 tahun, untuk tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, Farhash dilapor memberitahu Sinar Harian bahawa mesej tular mendakwa bahawa dia terlibat dalam pergaduhan adalah fitnah oleh seterus politiknya.

Mesej berkenaan tular di media sosial mendakwa Farhash ditangkap berhubung pergaduhan di luar gimnasium di Ampang pada 31 Ogos dan telah memukul seorang lelaki kerana tidak berpuas hati selepas kalah dalam kes mahkamah yang melibatkan lelaki itu.

Laporan itu memetik Farhash mendakwa bahawa tuduhan itu tidak benar.

Setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul juga mempertahankan Farhash.

"Kejadian yang dikatakan dalam mesej itu tidak benar," katanya dipetik sebagai berkata.