Skip to main
Logo Malaysiakini

Rusuhan bersenjata: Pembantu Anwar sedia beri kerjasama pada polis

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bersedia memberikan kerjasama terhadap siasatan polis berhubung rusuhan bersenjata di Ampang baru-baru ini.

Farhash, yang juga Setiausaha Politik kepada presiden PKR, Anwar Ibrahim diminta membantu siasatan terhadap kejadian pada jam 9 malam 31 Ogos lalu di Kompleks Sukan Arena All Stars di Ampang, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Farhash, 37 berkata laporan polis yang difailkan oleh pengadu dibuat atas nama adiknya.

"Saya terpanggil untuk menjelaskan mengenai insiden yang berlaku pada 31 Ogos 2019 di Ampang.

"Laporan polis yang dibuat adalah ke atas nama adik saya namun saya sedia untuk memberi kerjasama sekiranya perlu," katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Farhash dipercayai merujuk kepada nama pemilik akaun Facebook yang disebut dalam laporan polis berkenaan. 

Nama berkenaan terdapat dalam mesej yang tular di media sosial, yang dikatakan mengandungi kandungan laporan polis terhadap kes tersebut.

Farhash bagaimanapun tidak menyatakan sama ada beliau akan bertemu dengan pihak polis. 

Malaysiakini tidak dapat menghubungi beliau untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Dalam kenyataannya pagi ini, Farhash mendakwa pengadu terlibat dalam kes jenayah melibatkan keluarganya.

Semalam Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat, berkata kira-kira 12 hingga 14 lelaki terlibat dalam insiden itu.

Katanya kejadian bermula apabila suspek terserempak dengan pengadu di kompleks berkenaan dan terus menolak muka pengadu.

Fadzil berkata pengadu diserang dengan topi keledar, pisau dan kerusi, meskipun tiga daripada sahabatnya cuba menghentikan kejadian itu.

Kejadian itu menyebabkan pengadu mengalami kecederaan koyak di bahagian tisu pinggang, luka di bahagian anggota badan dan sakit di bahagian kemaluan.