Skip to main
Logo Malaysiakini

Apa ada jual, tanya Agong sebelum mengeteh

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bukan sekali dua Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencuri hati rakyat jelata dengan sikap ramah baginda dan tidak kekok bergaul dengan rakyat.

Hari ini, baginda sekali lagi dilihat mencemar duli menikmati santapan di sebuah restoran di Putrajaya menerusi video yang dimuat naik di Instagram Istana Negara.

"Apa ada jual?" tanya baginda kepada pemilik restoran ketika melangkah masuk ke premis berkenaan.

"Macam-macam ada Tuanku," jawab wanita itu sebelum baginda memesan teh tarik dan roti canai.

Tuanku yang mengenakan kemeja putih dan bertali leher hitam, dilihat turut menyapa beberapa pengunjung yang sedang menjamu selera di situ.

Menerusi gambar dikongsikan di Instagram Istana Negara itu, baginda dilihat duduk di meja sambil ditemani dua yang lain.

“KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong singgah menikmati santapan di restoran Nasi Lemak Royale Kedah Putrajaya selepas selesai majlis menghadap bersama YAB Timbalan Perdana Menteri di Istana Melawati Putrajaya," menurut Instagram itu.

Pengguna Instagram turut memuji sikap rendah diri baginda, malah ada yang menyifatkan begitulah peribadi baginda sejak dahulu lagi.

“Masa jadi Pemangku Raja Pahang lagi memang Tuanku suka mengeteh dekat kedai-kedai biasa. Orang Kuantan mesti tahu kedai kegemaran Tuanku mengeteh lepas Subuh,” kongsi seorang pengguna.

“Baginda pun manusia biasa kan, mesti teringin juga sekali sekala mengeteh sembang-sembang di kedai kopi, macam kita,” kongsi seorang yang lain.

Sebelum ini Tuanku beberapa kali dilihat turun dari kenderaan rasmi bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa kemalangan jalan raya.

Yang terbaru pada empat hari lalu berhampiran persimpangan USJ, Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite).