Skip to main
Logo Malaysiakini

Bos Naza akan ambil prosiding hina mahkamah terhadap MP PJ - Peguam

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seorang peguam yang mewakili Pengerusi Eksekutif Naza World SM Faisal SM Nasimuddin memaklumkan telah diarahkan untuk memulakan prosiding menghina terhadap Anggota Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah selepas mengkritik keputusan mahkamah syariah yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari kepada bekas isterinya, Emilia Hanafi.

Free Malaysia Today memetik peguam Akberdin Abdul Kader berkata ulasan yang dibuat Maria menunjukkan ketidaktahuannya mengenai fakta kes itu.

Menurut Akberdin, anak guamnya merasakan anggota parlimen itu telah "menghina mahkamah syariah".

"Dia tidak pernah berunding dengan pihak lain sebelum membuat kenyataan keras itu," kata Akberdin yang mengatakan bahawa sebagai penggubal undang-undang di Dewan Rakyat, Maria perlu bersikap adil terhadap kedua belah pihak dan menghormati undang-undang.

Semalam, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia kerana melanggar perintah mahkamah berhubung hak penjagaan ketiga-tiga anak mereka.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman tersebut selepas wanita berkenaan memohon rayuan terhadap keputusan itu.

Hakim Arif Mohamed Fouzi membenarkan permohonan itu dan menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Emilia melanggar perintah itu sebanyak dua kali pada tahun lalu - iaitu pada 6 dan 7 Oktober 2018 kerana menghadiri majlis agama di Baling.

Pembantu kepada Maria memberitahu Malaysiakini beliau tidak akan mengulas pengumuman Akberdin.

Faisal dan Emilia mendirikan rumah tangga pada tahun 2002 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Fawwaz, Faiz dan Farhan.

Bagaimanapun, pasangan itu bercerai pada Mac 2016.

Akberdin mendakwa walaupun Faisal diberikan hak lawatan pada Julai tahun lepas, dia tidak dibenarkan membawa keluar anak-anak mereka dari rumah Emilia.

"Dia sepatutnya dapat mengambil anak-anaknya itu pada hari Jumaat dan mengembalikan mereka pada hari Ahad. Tetapi tidak pernah dibenarkan berbuat demikian, tidak pernah sekalipun, walau sekali untuk bermalam apa lagi beberapa jam pada siang hari," katanya sambil menjelaskan hukuman penjara menunjukkan mahkamah serius mengenai keperluan untuk konsensus terhadap perintah mahkamah.

Emilia melalui peguamnya telah menafikan dakwaan Faisal mengenai hak lawatan itu.