Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada pendakwaan terhadap Zamri Vinoth, kata AGC

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tiada pendakwaan terhadap penceramah Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang didakwa menghina agama Hindu, kata Pejabat Peguam Negara (AGC).

Menurut The Malaysian Insight, perkara itu dinyatakan dalam sepucuk surat yang ditandatangani Peguam Cara Negara Mohamad Hanafiah Zakaria kepada Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia.

Surat bertarikh 5 Julai itu diserahkan kepada penasihat persatuan itu, Arun Dorasamy semalam.

Menurut laporan itu, Pegawai Perhubungan Pelanggan AGC Wasri Ahmad Sujani berkata salinan surat dihantar melalui pos kepada pejabat persatuan itu.

“Selepas mempertimbangkan kertas siasatan (IP) lengkap ini adalah keputusan yang diminta pendakwaan supaya saya hantar. Semua butiran (lain), saya tidak ada akses kepada maklumat itu,” katanya seperti dipetik.

Pada minggu lalu, Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia menyerahkan memorandum kedua kepada AGC bagi mendesak tindakan diambil terhadap Zamri.

Mereka mendesak AGC mendakwa Zamri, yang merupakan pelajar Dr Zakir Naik, susulan ceramahnya yang didakwa menghina agama Hindu di sebuah masjid di Kelantan pada Disember lalu.

Pada April lalu Zamri ditahan di Perlis susulan laporan polis yang dibuat terhadapnya berkaitan ceramah itu, yang turut dimuat naik di internet.

Tangkapan itu dibuat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dorasamy yang kecewa dengan perkata itu mendakwa keputusan AGC mungkin berbeza jika ia melibatkan penghinaan terhadap Islam dan Melayu.

"Kita lihat orang lain yang buat kenyataan jelik tentang Islam dan Melayu didakwa cepat. Malah peniaga pun dipenjara 10 tahun (kerana kenyataan jelik dalam talian).

“Video selama 1 minit 37 saat itu secara terbuka menghina Hindu. Inilah sebabnya ramai orang pergi ke balai polis. Jadi, tidak cukupkah untuk mendakwa Zamri Vinoth?” katanya seperti dipetik.