Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan Pahang tentu tarikh lombong bauksit operasi semula - Menteri

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tarikh permulaan perlombongan bauksit beroperasi semula adalah tertakluk kepada kerajaan negeri Pahang, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata KATS sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) baru dalam perlombongan dan pengeksportan bauksit, yang wajib dipatuhi mereka yang terlibat dalam aktiviti tersebut.

"Mereka yang ingin melibatkan diri dalam perlombongan bauksit boleh memohon lesen daripada kerajaan negeri dengan kelulusan adalah tertakluk kepada pematuhan SOP yang dibuat.

"Jika semua operator boleh memenuhi SOP, mereka sudah boleh mula beroperasi apabila kerajaan negeri memutuskan perkara itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Gajah Sedunia 2019 di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Temerloh, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri KATS Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Abdul Kadir Abu Hashim dan Pengerusi Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) Feizal Mustapha.

Xavier juga menekankan aspek paling penting dalam perlombongan bauksit ialah pematuhan SOP yang sudah dimuktamadkan dengan kerajaan negeri Pahang bagi mengelakkan pencemaran akibat daripada aktiviti itu berulang.

Perlombongan bauksit di Pahang, telah dihentikan sementara menerusi penguatkuasaan tempoh moratorium bermula 15 Januari 2016 ekoran aduan penduduk berhubung pencemaran selain bahaya daripada lori pengangkutan bauksit.

Perlombongan bauksit didakwa menyebabkan beberapa daerah di Kuantan, disaluti debu merah sehingga mendapat jolokan 'Planet Marikh' selain pernah menyebabkan sungai dan perairan Kuantan menjadi merah.

Xavier, bagaimanapun menyatakan SOP baru berkaitan bauksit telah dimuktamadkan dan berkuat kuasa serta merta selepas mengadakan perjumpaan khas dengan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail di ibu negara pada Khamis lepas.

- Bernama