KKM bentang akta kawal vape, rokok elektronik Mac tahun depan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan akta baru berkaitan penggunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan shisha di Parlimen selewat-lewatnya pada persidangan sesi Mac 2020.
Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM ketika ini dalam fasa akhir penelitian untuk menggubal akta berkenaan yang disifatkan lebih menyeluruh serta dapat menangani pelbagai isu terkini.
“Kita hampir di penghujung perbincangan bersama Peguam Negara dan sangat mengharapkan dapat membentangkannya di Parlimen pada suku pertama sebelum Mac tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri larian ‘Stop The Stigma’ anjuran Hospital Umum Sarawak di Bangunan DUN lama di Kuching hari ini.
Mengulas lanjut, Dzilkefly berkata akta itu merangkumi bukan saja tembakau tetapi beberapa sisi lain yang bersangkutan dengan nikotin yang terdapat dalam vape atau rokok elektronik.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, mengetuai jawatankuasa khas yang melihat kepada persoalan mengenai vape dan shisha yang membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Rangka Kerja Kawalan Tembakau dan farmasi KKM bertanggungjawab melihat produk tembakau yang mengandungi nikotin.
Mengenai acara larian berkenaan, Dzulkefly menjelaskan ia adalah untuk membangkitkan kesedaran masyarakat sejagat mengenai kepentingan kesihatan mental serta masalah kesihatan mental yang semakin meningkat.
“Di Malaysia, trend tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja telah menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2017 mendapati prevalen idea bunuh diri dalam kalangan remaja berusia 13-17 tahun adalah 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai