Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan jadikan isu MH17 tawar-menawar tukar tahanan Rusia, Ukraine - Senator

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff menggesa supaya kerajaan Malaysia mengkaji tindakan Rusia dan Ukraine yang menjadikan suspek utama perbicaraan kes insiden kapal terbang MH17 yang ditembak jatuh sebagai pertukaran tahanan antara kedua negara itu.

Ini selepas mahkamah di Ukraine membebaskan salah seorang suspek utama perbicaraan kes, warga Rusia, Volodymyr Tsemakh.

“Apa yang berlaku sekarang ini, mereka menggunakan isu MH17 ini sebagai satu ‘trade-off’ ataupun barang tawar-menawar politik untuk kepentingan negara mereka.

“Ketidakadilan yang berlaku kepada mangsa-mangsa dalam kes MH17 tidak boleh dijadikan medium untuk apa-apa kepentingan selain daripada mencapai keadilan buat mereka (mangsa),” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam, Rusia dan Ukraine menukar 35 tahanan masing-masing sejak hubungan kedua negara itu dingin apabila wilayah Crimea diilhakkan (annexation) oleh Moscow pada 2014.

Ukraine menyerahkan Volodymyr Tsemakh (gambar) yang disyaki terlibat menembak jatuh pesawat MH17 di kawasan pemberontak di timur Ukraine pada 2014 yang mengorbankan 298 penumpang.

Sementara itu, Rusia pula menyerahkan 24 orang pelaut Ukraine yang ditahan pada tahun lalu.

“Volodymyr (Tsemakh) ialah suspek utama yang mana sedang melalui siasatan Ukraine, jadi keputusan untuk melepaskan beliau akan memberi impak langsung kepada siasatan kes ini kerana beliau adalah antara suspek utama,” kata Yusmadi.

Menurutnya lagi, perbicaraan kes yang berlaku pada 2014 itu turut disertai oleh pihak pendakwaan dari Amsterdam juga akan tergugat sepertimana yang telah diakui oleh mereka sendiri.

Malah, pihak pendakwaan dari Belanda pada minggu lalu turut menggesa kerajaan Ukraine agar tidak membenarkan Tsemakh daripada memasuki Rusia kerana bimbang boleh menggugat perjalanan siasatan ke atas kejadian MH17 itu.

Kerajaan Belanda dilaporkan kesal dengan perkembangan terbaru ini berkata,"di bawah tekanan Rusia, Tsemakh dimasukkan dalam pertukaran tahanan itu."

Menjelaskan lanjut, Yusmadi berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Russia dan Ukraine mahu membuat keputusan tersebut atas kepentingan tertentu, namun menegaskan mereka perlulah menggunakan isu lain dan bukannya isu mangsa MH17.

“Memandangkan insiden MH17 bukan saja melibatkan kepentingan rakyat Malaysia tetapi juga berkaitan dengan jenayah antarabangsa yang melibatkan lebih 298 mangsa, maka ia tidak boleh diganggu gugat dengan perkara lain,” katanya.

Yusmadi juga menggesa kerajaan Malaysia memohon kepada Ukraine dan Russia dengan kadar segera untuk mengkaji semula keputusan tersebut di samping memfokuskan kepada isu perundangan dalam perbicaraan kes MH17 dan memastikan keadilan dapat ditegakkan buat mangsa yang terkorban.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 20 Jun lalu berkata dukacita dengan laporan terkini Jawatankuasa Siasatan Bersama (JIT) berhubung insiden menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17, di timur Ukraine pada 2014.

Beliau melahirkan sikap skeptis dalam mempersalahkan pembabitan Russia.

Bagaimanapun, Kementerian Luar pula menyebut Malaysia kekal komited terhadap proses JIT dan akan terus komited bagi memastikan bahawa proses itu adalah telus, boleh dipercayai serta berkesan.