Skip to main
Logo Malaysiakini

Belajar dari rakaman guru terpilih bagus tapi jangan abai kaedah lama - NUTP

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pendidikan menerusi rakaman guru terpilih satu langkah bagus tetapi jangan abaikan pendidikan tradisional seperti penggunaan buku dan papan hitam untuk mengajar murid di sekolah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia Aminuddin Awang berkata, penggunaan rakaman video guru ini bagus kerana sejajar dengan teknologi moden yang kian berkembang pesat.

“Kaedah tradisional (penggunaan buku dan papan hitam) harus tetap berjalan dan ini (rakaman guru) cuma tambahan kepada aspek pemahaman buat pelajar serta para guru,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambahnya, Aminuddin turut berkata sesi rakaman tersebut boleh dijadikan sebagai penanda aras oleh cikgu di sekolah bagi mengajar murid-murid.

“Bagi saya lah, yang kaedah itu (rakaman) lebih elok guru sekolah gunakan sebagai panduan buat mereka mengajar kepada murid.

“Kita beri guru sekolah faham rakaman tersebut dan ajar murid-murid,” katanya.

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan melihat kemungkinan menggunakan kaedah pembelajaran secara rakaman oleh guru yang terpilih untuk dikongsi dengan sekolah lain.

Selain itu, Mahathir berkata cara itu bertujuan bagi memudahkan dan mempertingkatkan kualiti pembelajaran di negara kita.

“Kita akan mencuba bagi memudahkan pengajaran kerana guru tidak sama, jadi apa yang kita hendak lakukan ialah menggunakan guru yang bagus, rekodkan cara pengajaran mereka.

“...(dan) gunakan mata pelajaran yang direkodkan itu untuk sekolah lain di mana guru akan membimbing pelajar (mengenai mata pelajaran itu),” kata Mahathir ketika melawat Sekolah Rendah Ritsumeikan di Kyoto, Jepun

Beliau menambah cara itu bukan sahaja akan membantu mendidik pelajar malah memperbaiki pengetahuan guru yang membimbing itu.

Aminuddin yang berkecimpung dalam dunia pendidikan selama 30 tahun turut menjelaskan kaedah seperti ini bakal meningkatkan lagi cara pengajaran murid ke tahap yang lebih cekap.

“Ya..ya sebab dia (murid) boleh belajar mungkin dengan lebih efisien kerana kaedah yang digunakan mungkin lebih menyenangkan.

“Jadi dari sini mungkin guru sekolah boleh ambil kaedah baru tarik minat murid-murid untuk belajar,” katanya.