Bicara kes 1MDB tangguh, Najib sakit mata lagi
LANGSUNG l Perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB masuk hari ketujuh berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Najib menghadapi empat pertuduhan rasuah menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan.
Bicara tangguh, mata Najib kena jangkit konjunktivitis lagi
9.45am - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan kes 1MDB Najib Razak ke hari esok kerana bekas perdana menteri itu memberitahu telah sekali lagi mendapat jangkitan konjunktivitis pada kedua-dua belah matanya.
Menurut Muhammad Shafee, Najib dan isterinya Rosmah Mansor telah menelefonnya sekitar jam 7.15 pagi hari ini untuk memaklumkan keadaan kesihatan anak guamnya itu.
“Yang Arif, pagi ini sekitar jam 7.15 pagi, saya terima panggilan daripada Najib dan isterinya Rosmah Mansor, kerana sebelum itu mereka tidak dapat menghubungi saya.
"Konjunktivitis sekali lagi menjangkiti beliau.
"Mungkin sebab keluar semalam dan jerebu tidak membantu," katanya kepada mahkamah.
Menurut Shafee, bekas perdana menteri telah pergi untuk mendapatkan rawatan pakar tetapi doktor hanya boleh memeriksanya pada jam 10.30 pagi.
Shafee kemudian meminta Hakim Collin Lawrence Sequerah jika perbicaraan boleh ditangguhkan sehingga hari Selasa minggu depan.
Katanya, konjunktivitis adalah penyakit berjangkit dan Najib mungkin tidak akan dapat hadir di mahkamah sehingga esok.
Untuk rekod, mahkamah akan ditutup pada Isnin depan kerana cuti umum Hari Malaysia sementara pendengaran 1MDB telah ditetapkan hanya dari Isnin hingga Khamis setiap minggu.
Hakim kemudiannya meminta kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan mengenai kesediaan untuk menggantikan dua hari pendengaran pada dua Jumaat yang akan datang.
Mengenai hal ini, Shafee berkata beliau mempunyai perbicaraan kes bunuh bekas CEO Cradle Fund yang ditetapkan setiap hari Jumaat di Mahkamah Tinggi Shah Alam, manakala pendakwa raya utama DPP Gopal Sri Ram mengatakan beliau dan DPP lain dalam pasukannya memperuntukkan hari Jumaat untuk kes-kes lain.
Hakim Collin kemudian memerintahkan mahkamah akan menunggu laporan perubatan Najib dan mereka akan berbincang lagi esok pagi jika bekas perdana menteri diberikan cuti sakit selama dua hari.
Ini kali kedua perbicaraan Najib ditangguhkan kerana bekas perdana menteri mendapat jangkitan konjunktivitis pada matanya.
Kali pertama pada 14 Ogos lalu sewaktu pendengaran kes SRC International yang ditangguhkan selepas Najib diberi cuti sakit selama tiga hari kerana jangkitan virus itu.
Perbicaraan mula tanpa Najib
9.40am - Prosiding bermula pagi ini tanpa kehadiran tertuduh Najib Razak.
Anak tiri Najib kelihatan di mahkamah
9.19am - Riza Aziz, anak tiri Najib Abdul Razak masuk ke mahkamah dan mengambil tempat di baris hadapan galeri awam.
Hari ini, pasukan pembelaan akan meneruskan pemeriksaan balas terhadap bekas pegawai khas Najib Razak ketika menjadi perdana menteri, Amhari Efendi Nazaruddin
Pembelaan semalam membangkitkan beberapa perkara tidak konsisten dalam keterangan Amhari manakala peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah mendakwa bekas kakitangan Najib bekerjasama dengan SPRM dan memberi keterangan menentang tertuduh supaya saksi kelapan itu dapat melepaskan diri daripada pertuduhan jenayah terhadap dirinya.
Pemeriksaan balas terhadap Amhari akan dijangka akan diteruskan pembelaan apabila perbicaraan bermula jam 9.30 pagi ini.
Setakat ini Shafee baru menyoal Amhari setakat perenggan ke-37 kenyataan saksi bekas pegawai Najib itu, yang mana terdapat 198 keseluruhannya. Malah pemeriksaan balas terhadap testimoni Amhari itu dijangka tidak akan dapat dihabiskan pada hari ini juga.
Najib, 66, berdepan empat tuduhan rasuah yang didakwa dilakukan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) undang-undang yang sama.
Bekas perdana menteri itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan wang haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai