Skip to main
Logo Malaysiakini

MP kerajaan bukan pegawai kebajikan atau 'Dewa Rezeki'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN | Sebelum PRU14, saya berpeluang mewawancara seorang ahli parlimen BN di pejabatnya.

Dalam suasana petang yang terik itu beliau dengan bangga memberitahu, kawasannya dijaga dengan baik melalui bantuan seperti beras, minyak masak, pakaian sekolah kepada golongan fakir miskin.

Bantuan itu disalurkan melalui peruntukan khas parlimen serta sumber kewangan lain.

Pada zaman BN, peruntukan khas ahli parlimen adalah hak eksklusif parti pemerintah dan wakil rakyat pembangkang hanya boleh melihat saja, atau berangan-angan untuk mendapatnya.

Oleh itu, PH yang duduk di bahagian kiri speaker Dewan Rakyat pada ketika itu menempelak BN kerana tidak memberi layanan adil kepada senua anggota parlimen.

Selepas 9 Mei 2018, PH dan BN bertukar tempat di Dewan Rakyat. Tempat yang selama ini diduduki pembangkang kini diisi muka-muka lama yang sebelum ini berada di kanan speaker.

Maka kerajaan baru pun mengumumkan bantuan khas turut akan dinikmati wakil rakyat pembangkang. Mereka diberikan peruntukan kawasan sebanyak RM100,000 seorang.

Walaupun pemberian tersebut dilihat lebih maju daripada kerajaan BN, tetapi anggota parlimen PH menikmati peruntukan lebih besar, iaitu RM1.5 juta peruntukan khas kawasan selain tambahan RM300,000 bagi pengurusan pejabat pusat khidmat wakil rakyat.

Maklumat tersebut diberi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Md Farid Md Rafik, semasa ucapan penggulungan titah diraja pada April lalu.

PSC tidak aktif

Apabila BN dan PAS mengecam dasar itu dan menyifatkannya sebagai berat sebelah, PH menyanggah dengan menegaskan, walaupun peruntukan itu lebih rendah sekurang-kurangnya pembangkang tetap diberikan wang berbanding era sebelum ini.

Dalam riuh gemuruh kedua-dua pihak berhujah, timbul persoalan: mengapa peruntukan khas kawasan diperlukan?

Meskipun peralihan rejim berlaku, sistem parlimen tidak berubah apabila kuasa memihak lebih berat kepada badan eksekutif manakala badan perundangan masih kekurangan kuasa semak dan imbang.

Dengan membawa janji-jani reformasi, PH melaksanakan penubuhan enam jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSC) yang baru serta Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus yang diketuai Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim.

Langkah-langkah tersebut adalah memberi ruang kepada anggota parlimen membincangkan hal-hal tadbir urus negara secara lebih professional.

Semangat bipartisan ini bertujuan juga mententeramkan ketegangan di antara anggota parlimen kerajaan dan pembangkang yang selalu bertikam lidah di Dewan Utama.

Tetapi daripada badan yang ditubuhkan itu, setakat ini yang aktif hanya Kaukus Refomasi dan PSC Belanjawan. Anwar selalu memberi pandangan tentang hal ehwal negara manakala PSC Belanjawan membentangkan laporan hutang dan liabilti negara.

Lima PSC lain tidak kedengaran apa-apa perbincangan atau laporan melainkan isu pelantikan Lateefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang mendedahkan kekurangan punca kuasa untuk pelantikan jawatan awam utama.

Tugas menggubal undang-undang dilucut

Perkara itu semakin memburuk dengan masalah kekurangan kakitangan dan sumber kewangan badan tersebut berfungsi dengan lancar. Saya diberitahu bahawa enam PSC terbabit beroperasi dengan hanya menggunakan satu sekreteriat sahaja.

Atas kekurangan tersebut, maka sesuatu PSC sukar menjadi forum berkesan untuk anggota parlimen membincangkan sebarang rang undang-undang (RUU) atau dasar kerajaan.

Maka salah satu tugas teras anggota parlimen iaitu menggubal undang-undang telah tergugur.

Ia seperti kembali kepada era BN apabila anggota parlimen kerajaan akan menjerit “sokong" dan "betul” dalam hal ehwal kerajaan, manakala wakil pembangkang akan “tolak" dan "bantah” apa saja, kecuali sesekali dalam isu pindaan perlembagaan yang memerlukan PH mendapat sokongan pihak satu lagi.

Fungsi anggota parlimen sebagai pengubal undang-undang juga dikurangkan kerana hari persidangan Dewan Rakyat tidak mencukupi.

Pada takwin 2019, Dewan Rakyat bersidang selama 68 hari berbanding janji manifesto PH iaitu sekurang-kurang 100 hari setiap tahun bagi membolehkan “parlimen memainkan peranan yang sewajibnya”.

Oleh kerana kekurangan platform untuk menggubal undang-undang, maka sesetengah anggota parlimen kerajaan dilantik untuk memegang jawatan agensi-agensi badan eksekutif.

Antaranya Anggota Parlimen Julau, Larry Sng yang dilantik sebagai pengerusi Lembaga Lada Malaysia, dan Anggota Parlimen Ipoh Timur merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Wong Kah Woh yang dilantik sebagai pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda).

Seorang anggota PSC pernah mengeluh kepada saya sambil menceritakan bahawa tugas jawatankuasanya amat kurang dan tidak membawa impak besar gara-gara kuasa perundangan yang tidak mencukupi.

Parlimen lapor kepada eksekutif

Perlu juga diingat, pelantikan anggota parlimen PH sebagai ketua atau anggota lembaga agensi kerajaan turut akan mejejaskan kuasa semak dan imbang kerajaan.

Hal ini kerana mereka perlu bertanggungjawab kepada badan eksekutif, sedangkan ia bercanggah dengan prinsip eksekutif sepatutnya bertanggungjawab kepada parlimen.

Bagi anggota parlimen parti pemerintah yang tidak dilantik dalam mana-mana agensi kerajaan, mereka juga mendapat peruntukan ahli parlimen khas daripada badan eksekutif.

Dengan tiadanya peranan sebagai pengubal undang-undang, pengagihan peruntukan khas adalah tugas anggota parlimen parti pemerintah.

Ia boleh diibaratkan sebagai setiap kepala anggota parlimen kerajaan ditandakan RM1.5 juta, menjadikan mereka umpama Dewa Kekayaan atau Dewa Rezeki mengikut kepercayaan orang Cina.

Tanda harga tersebut mengundang pertubuhan tempatan, sekolah, rumah ibadat dan seumpamanya mengutus surat meminta sumbangan kewangan kepada anggota parlimen bagi membaiki kerosakan infrastruktur, membiayai aktiviti dan sebagainya.


Baca Reformasi institusi di tahap 36.4%, kata Bersih


Sebagai balasan, anggota parlimen akan dijemput sebagai tetamu khas untuk merasmikan program tersebut dan jadual majlis berkenaan akan dicatat dalam Google Calendar pembantu beliau.

Tidak ketinggalan, pengundi kurang bernasib baik yang akan mengharapkan sumbangan daripada wakil rakyat masing-masing menjelang sesuatu perayaan atau saat sebelum sekolah dibuka.

Ikatan silaturahim anggota parlimen dengan pengundi memang perlu dieratkan dari semasa ke semasa kerana ia adalah salah satu tanggungjawab wakil rakyat.

Tetapi jika hubungan itu terhad hanya kepada pengagihan sumbangan daripada diperuntukkan RM1.5 juta, ia sebenarnya amat tidak perlu.

Sepatutnya peruntukan khas anggota parlimen perlu terhad kepada kes kecemasan seperti malapetaka banjir, kebakaran dan sebagainya yang tidak perlu menelan belanja RM1.5 juta setahun.

Malah peruntukan sebesar begitu - pada zaman BN - biasanya dikhabarkan menjadi sumber perbelanjaan kroni masing-masing.

Masalah kerosakan infrastruktur dan bantuan kewangan aktiviti sepatutnya boleh diperolehi daripada pihak berkuasa. Malah bantuan fakir miskin boleh ditangani oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sebagai pengubal undang-undang, anggota parlimen perlu diperkasakan dengan kuasa institusi perundangan supaya suaranya dapat mempengaruhi keputusan badan eksekutif dengan berkesan.

Jika tidak, sidang parlimen - seperti dinukilkan Mahathir dalam bukunya, Dilema Melayu - adalah seperti "suatu formaliti yang tidak bermakna... hujah-hujah tersebut tidak berkesan langsung kepada pentadbiran kerajaan.”

Malah kebanggaan seorang anggota parlimen akan terus diukur melalui jumlah berapa kampit beras, berapa tong minyak masak, berapa helai pakaian sekolah, berapa ringgit sumbangan disalurkan kepada pengundi di kawasannya.

Maka tiada beza mentaliti anggota parlimen parti pemerintah semasa BN dulu hingga sekarang. Ia kekal pada sambutan ulang tahun institusi parlimen ke-60 hari ini.


LU WEI HOONG ialah wartawan Malaysiakini yang berasa ahli parlimen tidak seharusnya menjadi pegawai kebajikan tetapi perlukan pentas bersesuaian untuk melaksanakan tugas sebagai penggubal undang-undang. Rencana ini adalah ulasan sempena ulang tahun ke-60 Parlimen Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.