Kes Ku Nan tak bayar cukai RM57j: LHDN mohon penghakiman terus
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memohon supaya kes samannya terhadap bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor bagi menuntutnya membayar wang berjumlah RM57.17 juta terhadap cukai pendapatan yang tidak dibayar sejak 2012 sehingga 2017, diputuskan melalui peghakiman terus.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof menetapkan 12 Disember untuk mendengar permohonan LHDN selepas pengurusan kes tersebut dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad dan Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN serta Satharuban Sivasubramaniam bertindak bagi pihak Tengku Adnan.
Berdasarkan maklumat mahkamah, LHDN sebagai plaintif memohon untuk penghakiman terus di bawah Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Penghakiman terus ialah di mana mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.
Defendan (Tengku Adnan) juga memfailkan permohonan penggantungan prosiding mengikut Aturan 92 Kaedah 4, Kaedah- Kaedah Mahkamah 2012.
Mahkamah menetapkan 15 November bagi pendengaran permohonan defendan manakala 12 Disember 2019 untuk mendengar permohonan plaintif.
Pada 24 Julai lepas, Kerajaan Malaysia memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dengan menamakan Tengku Adnan yang juga bekas setiausaha agung Umno sebagai defendan.
Mengikut penyataan tuntutan itu, plaintif mendakwa Tengku Adnan masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.
Ia berkata Notis Taksiran itu telah dihantar secara Akuan Terima Berdaftar (A.R) kepada defendan pada 20 Mac lepas ke alamat terakhirnya dan Notis Taksiran itu telah diterima dan ditandatangani pada pada 22 Mac lalu melalui pengembalian semula kad kuning Akuan Terima Berdaftar.
Plaintif mendakwa, oleh kerana Tengku Adnan gagal membayar jumlah cukai pendapatan dari tahun 2012 sehingga 2017 itu dalam tempoh 30 harı dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus telah dikenakan.
Plaintif berkata defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 itu menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.
Ia mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.
Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).
Oleh itu plaintif menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai