Skip to main
Logo Malaysiakini

Aktivis Papua Barat: Tentera Indonesia bakar kampung kami

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

GLOBAL | Kumpulan aktivis Papua Barat mendakwa tentera Indonesia melakukan tindakan kekerasan dan keganasan terhadap penduduk yang tidak bersalah dan tidak bersenjata.

Dalam percubaan yang didakwa untuk menutup tindakan berkenaan, kerajaan Indonesia juga dikatakan mengusir wartawan asing dari wilayahnya di Papua dan Papua Barat, meneruskan sejarah panjang pengasingan wilayah itu dari dunia luar.

Indonesia juga dikatakan menyekat talian internet di rantau itu.

"Memburukkan lagi keadaan, pasukan khas antikeganasan Indonesia, Densus 88 menyebarkan pembohongan bahawa orang Papua dipengaruhi oleh pengganas ISIS.

"Motif kami adalah referendum mengenai kemerdekaan Papua dan berakhirnya perlakuan perkauman terhadap orang Papua oleh Jakarta. Ironinya, mereka yang menuduh kami terpengaruh dengan ekstrimis Islam cuba memaksakan agama kepada rakyat kami," kata aktivis Papua Barat kepada Malaysiakini.

Aktivis itu juga menunjukkan gambar yang didakwa memaparkan tentera Indonesia membakar rumah penduduk setempat.

"Mereka datang dan membakar rumah-rumah di desa-desa di distrik Gome di Kabupaten Puncak di Papua," kata aktivis itu, sambil menambah bahawa maklumat lanjut tidak jelas kerana sekatan di kawasan berkenaan.

"Tolong sebarkan kisah kami ke dunia luar," katanya.

Menurut Reuters, pihak berkuasa Indonesia menahan 85 penunjuk perasaan, dan sekurang-kurangnya empat orang mati sejak rusuhan meletus pada 17 Ogos.

Bantahan terhadap apa yang didakwa sebagai diskriminasi kaum dan etnik itu berlangsung lebih dua minggu di serata bandar Papua.

Beberapa penunjuk perasaan menuntut referendum mengenai kemerdekaan wilayah itu, namun kerajaan Indonesia sebelum ini sudah menolak.

Papua dan wilayah Papua Barat yang merupakan wilayah yang kaya di pulau New Guinea, dahulu adalah jajahan Belanda yang dimasukkan ke Indonesia setelah referendum 1969 yang dikritik secara meluas oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Sambil mengibar bendera dengan slogan 'Papua merdeka', penunjuk perasaan membakar bangunan parlimen tempatan dan menyekat jalan-jalan di ibu kota Manokwari, sementara bantahan yang lebih besar berlaku di Jayapura.

Penunjuk perasaan membantah penahanan beramai-ramai pelajar Papua di Surabaya, Jawa Timur, yang membengkokkan tiang bendera Indonesia di depan asrama pada hari kebangsaan Indonesia yang disambut pada 17 Ogos lalu.

[Baca berita asal]