Skip to main
Logo Malaysiakini

KLK akui kebakaran di ladang, beri kerjasama dalam siasatan Indonesia

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK), pemilik PT Adei Plantation & Industry yang dinamakan Indonesia sebagai satu daripada empat syarikat berkaitan Malaysia yang menyebabkan kebakaran hutan, berkata pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung perkara itu.

"Pada masa ini, kawasan seluas 4.25 hektar termasuk kawasan pengasingan telah ditutup untuk siasatan yang sedang berjalan.

"PT Adei akan terus memberi sokongan penuh kepada Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia dan semua pihak berkuasa terlibat untuk membantu siasatan kes ini," kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

KLK mengakui kebakaran berlaku di ladang subsidiarinya itu dan telah memadamkannya.

"KLK dengan rasa kesal mengesahkan kejadian di satu kawasan titik panas yang melibatkan 2.8 hektar dalam ladang berkeluasan 14,400 hektar yang diuruskan PT Adei. Titik panas berlaku ketika tempoh kering yang teruk dan luar biasa, di mana hujan hanya dicatat turun dua hari dalam tempoh 60 hari terakhir.

"Titik panas itu berjaya dipadam pada hari sama melalui usaha 120 kakitangan pemadam kebakaran kami dengan bantuan 11 ekskavator dan pam.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, air terus disimbah sepanjang malam untuk memastikan kawasan terkesan kekal basah dan mengelakkan kejadian berulang," katanya lagi.

Ratusan titik panas seluruh Indonesia dikatakan menjadi punca terhadap jerebu yang melanda Malaysia.

Tiga lagi syarikat berkaitan Malaysia yang dikaitkan kerajaan Indonesia ialah Sukses Karya Sawit, unit IOI Corporation; Sime Indo Agro, unit Sime Darby Plantation; dan Rafi Kamajaya Abadi, unit TDM Berhad milik kerajaan Terengganu.

Semalam, Sime Darby Plantations dan IOI Corporation Bhd menafikan dakwaan Indonesia bahawa ladang yang diuruskan anak syarikat mereka ditutup akibat kebakaran.

Dalam pada itu, KLK berkata pihaknya maklum terhadap kesungguhan kerajaan Indonesia dalam menangani apa yang disifatkannya sebagai "isu kompleks" itu dan memberi sokongan penuh terhadapnya.

"KLK ingin menegaskan dasar sifar-bakar kami dan mematuhi dasar Asean berkenaan tiada pembakaran untuk semua operasi ladang," katanya.

Kata KLK lagi, pihaknya serius dalam agenda melawan kebakaran dan memiliki pasukan pemadam kebakaran yang lengkap di ladang, yang mengadakan latihan tahunan dan menjalankan sistem rondaan yang ketat.