'Baguslah dua Muslim bermusuh nak berbaik'
Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata adalah sesuatu perkara yang bagus jika dua orang Muslim yang selama ini bermusuhan ingin berbaik.
Tanpa menyebutkan secara spesifik pihak yang ditujukannya, Mohd Asri dipercayai mengulas Himpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung semalam dan hari ini yang menyaksikan perdamaian antara PAS dan Umno.
Tidak mahu menghukum sekiranya ada sebarang maksud tersirat di sebalik perdamaian dua parti itu, beliau berkata langkah perdamaian kerana Allah adalah sesuatu yang diberkati dan mendapat pahala.
"Baguslah jika dua orang Muslim yang bermusuhan ingin berbaik. Jika mereka ikhlas mencari reda Allah maka itu sesuatu yang mendapat pahala dan diberkati.
“Jika mereka ada agenda lain yang tidak kerana Allah, hanya Allah yang tahu apa yang tersirat.
“Tidaklah saya mampu mengetahui yang tersirat sehingga zahir kesalahannya di sisi syarak,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Dalam kenyataan itu, Mohd Asri menyorot pergaduhan "dua orang" sekian lama yang menurutnya sehingga mengeruhkan hubungan keluarga.
"Segala maki hamun, carut marut keluar dari mulut mereka. Bertumbuk pun pernah. Habis anak pinak terlibat bermasam muka, bersumpah nista.
"Jiran tetangga menjadi serabut kerana pergaduhan mereka. Orang kampung pening kepala. Segala nas agama digunakan, benar atau salah tidak lagi dikira," katanya.
Kenyataan Mohd Asri itu hadir pada malam pemeteraian piagam antara PAS dan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur yang menarik kira-kira 25,000 pengunjung untuk hari ini sahaja.
Pemeteraian piagam itu juga dilihat secara rasmi menandakan berakhirnya perseteruan politik PAS dan Umno sekian lama.
Pada 27 Ogos, PAS ada meluahkan hasrat menjemput Mohd Asri untuk turut menghadiri majlis menandatangani piagam tersebut.
Bagaimanapun, Mohd Asri dalam hantaran malam ini mengesahkan tidak hadir memenuhi jemputan itu.
“Adapun saya, tidak hadir jemputan perdamaian tersebut kerana 'belum sampai maqam makrifat dan masih di peringkat bersuluk',” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai