Muhasabah Hari Malaysia: Berikan keadilan pada Sabah
ULASAN | Kira-kira dua minggu yang lepas, kita baru saja meraikan sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos sejak 1957.
Memang setiap tahun tarikh keramat itulah yang mengingatkan semua rakyat Malaysia akan nilai dan erti sebuah kemerdekaan yang tidak ada bandingnya.
Namun, terdapat satu lagi tarikh yang tidak boleh kita lupakan iaitu Hari Malaysia pada tanggal 16 September 1963 dan hari ini, tarikh itu berulang kembali namun dalam dimensi yang berbeza – tahun 2019.
Maka, genaplah 56 tahun di mana Sabah (dahulunya dikenali sebagai Borneo Utara), Sarawak, Malaya dan Singapura membentuk negara baharu bernama Malaysia.
Namun, pada 9 Ogos 1965, Singapura keluar dari Malaysia.
Di Hari Malaysia ini, terdapat beberapa perkara yang saya kira wajar untuk kita muhasabah dan beri keadilan secukupnya.
Sebagai anak jati Sabah, wajar sekiranya pembangunan berlaku dengan adil serta kemudahan awam yang dapat dirasakan bersama seperti mana sempurnanya kemudahan di Semenanjung Malaysia.
Adalah baik sekiranya jurang kemiskinan di Sabah dikecilkan dan peluang pekerjaan dikembangkan dalam pelbagai sektor.
Dalam kita mengorak langkah pada tahun 2020 ini, seharusnya keadaan sudah menjadi lebih baik berbanding 20 tahun yang sudah.
Saya percaya, kerajaan sudah mengambil langkah yang proaktif demi memastikan Sabah mampu berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri yang lain.
Cuma, usaha tersebut perlu diperkasakan agar tidak ada sesiapa yang ketinggalan saat yang lain sudah berada di hadapan.
Sabah merupakan salah sebuah negeri pengeluar minyak utama.
Royalti minyak 20 peratus yang dijanjikan kepada rakyat Sabah juga seharusnya bukan dijadikan gula-gula dan menjaga hati rakyat negeri ini.
Tidak kira cepat atau lambat, royalti 20 peratus ini wajar dipenuhi, bukan semata-mata untuk menambat hati rakyat Sabah sebagai ‘king maker’ setiap kali menjelang Pilihanraya Umum.
Di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak-hak Sabah dan Sarawak perlu dikembalikan bagi memastikan kedua-dua negeri ini dapat membangun seperti mana yang sewajarnya.
Saya percaya, kuasa dalam membuat dasar perdagangan dan komersial kepada Sabah dan Sarawak juga dapat dikembalikan.
Dua sambutan 31 Ogos, 16 Sept
Jadi, setiap tahun, kita ada dua sambutan bersejarah yang wajib diingati dan diraihkan iaitu Hari Kebangsaan 31 Ogos 1957 dan juga Hari Malaysia 16 September 1963.
Rasanya semua sudah sedia maklum akan sejarah pembentukan Malaysia. Kerana acapkali kita disajikan dengan pelbagai maklumat dan sejarah yang menceritakan detik-detik perjalanan negara awal saat awal ia terbentuk hingga ke hari ini.
Namun di sini, saya tidak akan lelah menceritakan semula bagaimana ke empat-empat wilayah ini bersatu untuk membentuk sebuah negara berdaulat iaitu Malaysia.
Saya cuba untuk memampatkan kesemua fakta dan cerita agar mudah difahami dan tidak mengambil masa ramai pembaca.
Ceritanya bermula menerusi cadangan perdana menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pada 27 Mei 1961 dan diikuti dengan Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu di Singapura pada 23 Julai yang memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia - yang dipengerusikan oleh Mohammad Fuad Stephens.
Rundingan ini bertujuan untuk menerangkan kepada rakyat di Sabah, Sarawak dan Brunei akan konsep negara Malaysia.
Maka siri mesyuarat pun berlangsung pada Ogos 1961 hingga 1962 di Sabah, Sarawak dan Singapura. Hasil daripada rundingan tersebut, Suruhanjaya Cobbold dibentuk pada 17 Januari 1962 yang dipengerusikan oleh Cameron Cobbold.
Suruhanjaya Cobbold – yang terdiri daripada Mohd Ghazali Shafie dan Wong Pow Nee sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala wakil berajaan British pula diwakili oleh Anthony Abell dan David Watherson. Suruhanjaya ini berfungsi bagi mendapatkan pandangan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai gagasan Malaysia.
Lantas, Cobbold mendapatkan lebih 4,000 orang dan sejumlah 2,200 memorandum diterima pelbagai pihak bermula Februari hingga April 1962.
Hasil daripada tinjauan itu di mana majoriti rakyat Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia.
Bukan itu sahaja, mereka (rakyat Sabah dan Sarawak) menerima Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, menerima Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Namun, sebelum bersedia untuk membentuk Malaysia, rakyat Sabah dan Sarawak mengkaji beberapa tuntutan demi menjaga kepentingan mereka sebagai Anak Negeri Sabah dan Sarawak.
Tuntutan inilah yang dikenali sebagai 20 Perkara Sabah dan ia merupakan syarat bagi Sabah membentuk Malaysia.
Tidak semudah yang disangka, pembentukan Malaysia menghadapi pelbagai cabaran bermula dengan konfrontasi oleh presiden Sukarno dari Indonesia dan pemimpin Parti Rakyat Brunei, AM Azhari.
Malah Filipina juga menuntut hak Sabah dikembalikan kepada mereka atas alasan keturunan Sultan Sulu yang memeterai perjanjian dengan kerajaan British pada 1878.
Pada 21 Jun 1962 bermula laporan Suruhanjaya Cobbold disiapkan dan dikemukakan kepada Kerajaan British dan Tanah Melayu.
Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia ditandatangani pula di Pejabat Perhubungan Komanwel yang bertempat di Malborough House, London.
Daripada perjanjian tersebut, Sabah, Sarawak, Malaya dan Singapura mencapai kata sepakat untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963, namun, Filipina dan Indonesia menentang secara berterusan dengan mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menghantar misi ke Borneo pada tahun 1963 bagi menjelaskan pandangan rakyat yang menyokong penubuhan Malaysia.
Selepas daripada itu, penubuhan Malaysia terpaksa dianjakkan pada 16 September 1963.
Stadium Merdeka menjadi saksi detik yang bersejarah apabila Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan penubuhan Malaysia di hadapan lebih 30,000 rakyat.
Sehingga ke hari ini, pertikaian mengenai tarikh sambutan kedua-dua hari bersejarah itu tidak pernah selesai.
Ada sesetengah pihak yang sentiasa mengapi-apikan hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk sentiasa renggang dengan mempersoalkan kewajaran dua sambutan hari kebangsaan dan hari Malaysia.
Kononnya, Sabah dan Sarawak tidak perlu mengiktiraf dan meraikan hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kerana tarikh kemerdekaan bagi kedua-dua negeri ini berbeza dengan Semenanjung Malaysia.
Sabah dan Sarawak hanya perlu meraihkan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun.
Sarawak, merdeka pada 22 Julai 1963 manakala Sabah pula menerima kemerdekaan pada 31 Ogos 1963, lebih kurang enam tahun lewat selepas kemerdekaan Tanah Melayu.
Meskipun berbeza tarikh kemerdekaan, namun kita sudah mencapai kata sepakat untuk membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
Saya kira, pandangan jumud seperti ini perlu ditepis oleh semua pihak. Tidak kira apapun, kemerdekaan itu adalah satu momen yang perlu diraikan bersama, kerana Tanah Melayu yang merdeka pada 31 Ogos juga sebahagian dari Malaysia yang kita jejak hari ini.
Di mata saya, isu dua sambutan hari kebangsaaan tidak seharusnya timbul kerana kedua-dua tarikh tersebut mempunyai sejarah yang tersendiri.
Bahkan sehingga ke hari ini, Sabah dan Sarawak masih belum diabaikan dari segi keselamatan dan ancaman pihak luar. Terima kasih persekutuan Tanah Melayu.
Pun begitu, kita terlalu berbangga dengan tarikh 31 Ogos itu sehingga kita lupa, 16 September menyingkap 1001 kisah di mana generasi hari ini kurang atau tidak mengetahui apa yang berlaku.
Malah dalam sistem pendidikan dan buku teks sekolah, pembentukan Malaysia pada 16 September kurang diperincikan berbanding kemerdekaan Tanah Melayu.
Bagaimanapun, tidak ada apa lagi yang saya boleh katakan melainkan rasa syukur, negara Malaysia masih aman hingga ke hari ini.
Selamat Hari Malaysia, Malaysia!
FADHLI SULAIMAN ialah anak jati Sabah daripada suku kaum Bajau, Semporna dan merupakan wartawan pelatih Malaysiakini.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai